am@hmetro.com.my
Seremban: Miliki kenderaan mewah, tetapi kedekut untuk membayar cukai jalan dan insurans. Itu yang boleh disimpulkan terhadap segelintir pemilik kenderaan mewah yang disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan.
Malah, ada antara kenderaan berkenaan yang sudah tamat tempoh lesen kenderaan memandu (LKM) sejak setahun lalu dan ada juga sejak 2023 dengan memberikan alasan lupa.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, sebanyak 10 kenderaan mewah disita berikutan kesalahan LKM dan insurans tamat tempoh.
“Masih ada pemilik kenderaan mewah bernilai jutaan ringgit yang culas memperbaharui LKM dan insurans dikesan berada di atas jalan raya dalam keadaan LKM dan insurans tamat tempoh.
“Antara alasan yang diberikan pemilik adalah ‘lupa’ memperbaharui cukai jalan dan insurans, saya tegaskan di sini bahawa alasan sebegini tidak boleh diterima,” katanya pada sidang media, hari ini.
Jelas beliau, antara kenderaan mewah yang disita adalah Porsche Taycan, Mini Cooper Countryman, Toyota Alphard, Tesla dan kebanyakannya adalah kenderaan mewah continental.
“Sekiranya mampu miliki sesebuah kenderaan, perlu bertanggungjawab atas LKM dan insurans. Kena pastikan dalam keadaan sah, tidak boleh culas,” katanya.
Mengulas lanjut, Hanif Yusabra berkata, berdasarkan rekod penguatkuasaan bagi tempoh Januari sehingga Julai lalu, pihaknya mengesan sebanyak 10,435 kesalahan yang membabitkan LKM tamat tempoh dan 7,891 kes tiada insurans.
Tambahnya, semua kenderaan terbabit disita dan dihantar ke depoh simpanan JPJ Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan peraturan berkaitan.
“JPJ memandang serius perbuatan ini kerana boleh menimbulkan risiko besar kepada keselamatan awam, terutamanya jika kenderaan itu tidak mempunyai perlindungan insurans.
“Tanpa insurans, sebarang kemalangan bukan sahaja tidak dilindungi, malah boleh menjerumuskan pihak lain yang terbabit ke dalam masalah besar dari sudut pampasan dan tanggungan kos kemalangan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd