Miliki pokok keladi tidak akan disaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Kota Kinabalu: Tiada yang akan disaman kerana memiliki pokok hiasan hiasan Alocasia atau keladi kerana ia bukan tumbuhan yang dilindungi.

Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah memaklumkan bahawa pihaknya menerima banyak pertanyaan berhubung isu yang tular di aplikasi WhatsApp mengatakan bahawa tumbuhan itu dilindungi dan pesalah boleh disaman sekiranya didapati bersalah.

Pengarah JHL Sabah, Augustine Tuuga dalam kenyataan hari ini berkata, peminat pokok hiasan jenis keladi itu boleh menyimpan tanaman berkenaan dan tidak perlu bimbang dengan penularan mesej berkaitan.

“Tumbuhan Alocasia tidak dilindungi di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan tiada yang akan disaman jika menjual atau memiliki tumbuhan ini.

“Namun, orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengambil tumbuhan itu di hutan simpan atau kawasan yang dilindungi melainkan mempunyai kebenaran daripada jabatan atau agensi yang diamanahkan menjaga kawasan itu,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa JHL mempunyai platform seperti Facebook dan Instagram 5R Hidupan Liar bagi orang awam mengetahui mengenai sebaran am yang dikeluarkan jabatan itu.

“Program Sembang Santai yang dilaksanakan di laman Facebook 5R Hidupan Liar juga untuk jabatan berinteraksi dengan orang awam sebagai pencerahan serta berkongsi pendapat untuk sama-sama melindungi hidupan liar di Sabah.

“Justeru, orang ramai boleh mengikuti laman sosial kami sebagai rujukan berkaitan hidupan liar dilindungi dan belajar mengenai perlindungan hidupan liar di Sabah,” jelasnya.

Alocasia tumbuh di hutan hujan tropika Asia Tenggara termasuk di Kepulauan Borneo. Ia mudah dijaga dan diminati kerana pelbagai spesis daunnya yang cantik.

Tumbuhan itu boleh mencapai ketinggian empat meter dan terdapat dikatakan mempunyai 79 spesies.

 

ZA137 Malay News

National Desk