Militan Bangladesh: Kutip dana, derma daripada 150 ahli kumpulan sembang

Militan Bangladesh: Kutip dana, derma daripada 150 ahli kumpulan sembang

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan kira-kira 100 hingga 150 warga Bangladesh berada dalam kumpulan sembang WhatsApp dipercayai dicipta bagi menyebarkan ideologi dan propaganda ekstremis.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, tujuan mereka merekrut ahli-ahli terbabit dipercayai bagi mengumpul dana untuk disalurkan bagi kegiatan ekstremis Islamic State (IS) di Syria dan Bangladesh.

Menurutnya, daripada jumlah ahli kumpulan sembang berkenaan, 36 individu ditahan kerana disyaki terbabit secara aktif dalam gerakan itu.

“Memang terdapat sejumlah wang yang dihantar ke negara asal untuk tujuan yang saya katakan tadi.

“Kita masih lagi dalam siasatan, kita tidak boleh mendedahkan jumlah dana yang dikumpul kerana peringkat ini berada di mahkamah.

“Nama-nama individu, latar belakang keluarga dan sebagainya tidak boleh didedahkan, kita masih lagi memerlukan masa untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan siasatan setakat ini, mereka percaya setiap ahli membayar wang keahlian kira-kira RM500 setahun manakala sumbangan boleh dilakukan seikhlas hati.

Katanya, sumbangan disalurkan menggunakan aplikasi e-dompet dan secara dalam talian.

Menurutnya, polis sedang bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengenal pasti rangkaian kumpulan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top