London: James Milner mencipta sejarah baharu apabila mencatat penampilan ke-654 dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas disenaraikan dalam kesebelasan utama Brighton & Hove Albion menentang Brentford.
Angka itu menyaksikan Milner memintas rekod 653 penampilan milik bekas pemain England, Gareth Barry, sekali gus menjadi pemain dengan aksi terbanyak dalam sejarah liga berkenaan.
Milner membuat penampilan sulung EPL ketika berusia 16 tahun bersama Leeds United pada 2002 sebelum menyarung jersi Newcastle United, Aston Villa, Manchester City dan Liverpool dalam karier yang menjangkau lebih dua dekad.
Pemain berusia 40 tahun itu menandatangani lanjutan kontrak setahun bersama Brighton pada Jun lalu dan sudah membuat 15 penampilan liga musim ini.
Rekod baharu itu mengukuhkan lagi statusnya sebagai antara figura paling konsisten dan tahan lama dalam sejarah bola sepak England.
© New Straits Times Press (M) Bhd




