Mimi Lana tak tolak babak merokok

Mimi Lana tak tolak babak merokok

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, Mimi Lana, 30, tidak kisah sekiranya babak dia menghisap rokok dalam filem Mencari Ramlee akan mendapat kecaman daripada penonton.

Mimi atau nama sebenarnya, Mimi Rozaiana Zainal Abidin berkata, sekiranya dikecam, ia menunjukkan wataknya sebagai Yasmin dalam filem itu berjaya.

“Saya tidak menolak untuk melakonkan babak menghisap rokok itu kerana filem Mencari Ramlee berlatarkan era 1970-an dan merokok itu adalah budaya mereka ketika itu. Sebagai pelakon kenapa saya perlu menolak untuk melakonkannya?

“Kalau ada orang yang kecam nanti, maksudnya watak lakonan saya dalam filem itu menjadi. Saya tidak kisah dengan respon netizen sebab yang merokok itu bukan saya tapi itu adalah Yasmin,” katanya ketika ditemui pada malam tayangan perdana filem lakonannya, Mencari Ramlee yang berlangsung di pawagam GSC Mid Valley, di sini, semalam.

Mengenai wataknya lagi, kata Mimi, sebagai seorang yang tidak merokok, dia turut berdepan cabaran tersendiri untuk menjiwai watak Yasmin dalam filem berkenaan.

“Saya perlu buat babak menghisap rokok itu berulang kali supaya ia nampak sempurna seperti dikehendaki skripnya.

“Ada satu babak yang memerlukan saya menghisap rokok dalam jumlah yang banyak sampai saya terbatuk-batuk tapi tidaklah sampai jejaskan kesihatan.

“Menghisap rokok di luar dan di dalam filem perasaannya berbeza kerana ia memerlukan banyak ‘take’ jika dalam filem,” kata isteri pelakon Syafiq Kyle itu.

Bagaimanapun, kata Mimi, ia bukan kali pertama dia melakonkan watak yang memerlukan dirinya merokok di dalam filem mahupun drama sebelum ini.

“Saya sudah pernah melakonkan watak yang memerlukan saya menghisap rokok sebelum ini. Pada masa sama, saya juga tidak menolak untuk melakonkannya lagi sekiranya bersesuaian dengan jalan cerita atau naskhah filem selepas ini,” katanya.

Filem Mencari Ramlee arahan Megat Sharizal akan mula ditayangkan di pawagam tanah air bermula 19 Jun ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top