am@hmetro.com.my
Tumpat: Memasuki minggu ketiga Ahmad Husin hilang di laut selepas keluar memancing, keluarga tetap tidak berputus asa berikhtiar menjejaki warga emas itu.
Sudah ramai ustaz dirujuk dan rata-rata mengatakan Ahmad, 71, masih hidup namun berdepan halangan untuk kembali ke rumah menyebabkan ahli keluarga berasa agak lega dan meletakkan sedikit harapan warga emas itu kembali dengan selamat.
Isterinya, Che Bunga Yaakob, 68, bagaimanapun tetap berasa runsing memikirkan di mana dan bagaimana keadaan suaminya sekarang menyebabkan dia tidak berselera untuk makan dan minum serta tidurnya juga sering terganggu.
“Tetap terbayang-bayang kelibatnya di setiap sudut rumah dan minggu lalu sekali lagi dia datang dalam mimpi dalam keadaan bersandar di bot fibernya sambil tersenyum.
“Sudah tiga minggu dia hilang menyebabkan saya tiada selera makan dan tidak dapat tidur nyenyak kerana memikirkan keadaannya yang entah hidup atau mati.
“Hati saya tetap mengatakan suami masih ada (hidup) dan menurut beberapa ustaz yang ditemui, mereka juga berkata sedemikian cuma ada halangan yang tidak membolehkannya kembali ke pangkuan keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kelaboran di sini.
Che Bunga berkata, pencarian turut dibuat ke beberapa kawasan di Selatan Thailand oleh ahli keluarga dan semalam, anak bongsunya, Mohd Zulkarnain Ahmad, 26, bersama keluarga mentuanya ke Narathiwat untuk mencari jejak bapanya.
Menurut Che Bunga lagi, selain solat hajat yang diadakan, dia juga sering ke jeti yang menjadi lokasi terakhir suaminya turun ke laut iaitu di Kuala Tanjong untuk membaca Yasin.
“Doa juga setiap hari dimohon semoga Allah SWT permudahkan urusan. Jika suami masih hidup, kembalikanlah dia dengan segera dan jika sebaliknya (meninggal dunia), timbulkan lah jasadnya supaya ada tanda,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Ahmad keluar memancing ikan di perairan Tumpat pagi 31 Ogos lalu dengan menaiki bot fiber miliknya sebelum didapati tidak pulang ke rumah sehingga kini.
Tidak hanya ahli keluarga, dua daripada empat lembu peliharaan Ahmad dilihat seakan merindui pemiliknya apabila sering menghampiri motosikal roda tiga kepunyaan Ahmad dan adakalanya mengalirkan air mata.
Katanya lagi, dua lembu betina terutama dinamakan Mek Teh yang dimanjai Ahmad dilihat seakan tercari-cari warga emas itu menyebabkan Che Bunga terpaksa ‘memujuk’ dengan memberi makan sambil memberithu mengenai kehilangan Ahmad.
“Walaupun Mek Teh hanyalah binatang, tapi dia seakan faham kerana setiap kali saya bercakap dengannya mengenai suami, Mek Teh mengalirkan air mata selain kerap menggesel badannya di motosikal roda tiga milik suami,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




