Monaco: Penyertaan pemain tengah Jepun, Takumi Minamino, pada Piala Dunia tahun depan kini diragui selepas kelabnya, AS Monaco, mengesahkan dia mengalami koyakan ligamen anterior cruciate (ACL) pada lutut kiri.
Pemain berusia 30 tahun itu mengalami kecederaan berkenaan ketika beraksi dalam kemenangan 2-1 Monaco ke atas Auxerre pada aksi Piala Perancis, Ahad lalu.
“Pemain tengah kami, Takumi Minamino, mengalami kecederaan pada lutut kiri,” menurut kenyataan Monaco.
“Pemeriksaan perubatan mengesahkan berlaku koyakan ligamen anterior cruciate.”
Kecederaan ACL lazimnya memerlukan tempoh pemulihan enam hingga sembilan bulan, sekali gus menyukarkan Minamino untuk pulih tepat pada masanya menjelang Piala Dunia yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico dari 11 Jun hingga 19 Julai.
Jepun berada dalam Kumpulan F Piala Dunia dan akan menentang Belanda, Tunisia serta pemenang perlawanan play-off.
Perlawanan pembukaan mereka dijadualkan pada 14 Jun menentang Belanda di Dallas.’
Kecederaan Minamino dianggap tamparan besar buat Jepun, dengan bekas pemain Liverpool itu sudah membuat 73 penampilan antarabangsa dan menjaringkan 26 gol bersama Samurai Blue.
Ketiadaannya turut memberi kesan kepada kempen Monaco musim ini, dengan kelab Perancis itu kini di tangga kesembilan Ligue 1 dan dijadual berdepan Real Madrid serta Juventus pada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara bulan depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




