Kuala Lumpur: Dalam meniti arus kemodenan ini, terma berkaitan teknologi dan penggunannya sering menjadi buah mulut dalam kalangan setiap lapisan masyarakat di negara kita terutamanya dalam kalangan guru. Hal ini kerana, dengan pengaplikasian teknologi dalam pendidikan dapat menyampaikan pengajaran yang lebih berkesan kepada pelajar terutama dalam subjek sains di sekolah. Teknologi maklumat pada masa kini memberi impak dan manfaat yang sangat besar kepada pelajar untuk menunjukkan kemahiran mengaplikasi, menilai serta mencipta melalui proses meneroka, memilih dan menentukan maklumat pengajaran. Tambahan lagi, subjek sains di Malaysia kini mengalami suatu transformasi iaitu dengan menekankan Pendidikan Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM) kepada generasi baru iaitu generasi Z untuk mempersiap sedia diri mereka bagi mengharungi cabaran abad ke-21 masa kini.
Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang berkata, berdasarkan statistik terdapat trend penurunan dalam kalangan pelajar yang mengikuti jurusan STEM dan ianya trend yang amat membimbangkan kerana Malaysia dalam usaha menuju ke arah negara maju menjelang tahun 2030. Malah bukan itu sahaja, tetapi ianya menjadi suatu isu hangat dan besar di Malaysia untuk menjadi negara maju kerana minat dalam kalangan pelajar terhadap Pendidikan STEM semakin berkurangan.
Justeru, pemansuhan UPSR adalah antara faktor kemerosotan pelajar mengikuti aliran STEM di sekolah. Hal ini kerana, susulan kepada pemansuhan UPSR tersebut, pelajar mengambil cakduh sahaja terhadap pelajaran mereka sekaligus kurang pendedahan pelajar terhadap STEM di sekolah. Pelajar juga kurang memberi penekanan terhadap pelajaran mereka kerana tidak mempunyai matlamat dan target yang jelas dalam mempersiapkan diri sebelum memasuki alam sekolah menengah. Malah, mereka merasakan bahawa belajar tanpa matlamat hanyalah sia-sia kerana tiada apa yang perlu ditarget dalam pencapaian mereka, sebaliknya jika adanya peperiksaan akan memberi penekanan kepada mereka untuk lebih berusaha dan fokus. Misalnya, pelajar tahun 6 yang akan melangkah ke alam baru di peringkat sekolah menengah mereka tidak belajar dengan bersungguh-sungguh di dalam pelajaran kerana merasakan tiada ujian yang perlu ditumpu dan boleh membuat pilihan sendiri untuk menentukan masa depan mereka, berbeza dengan generasi yang sebelumnya dengan tidak mengikuti aliran STEM di peringkat sekolah menengah. Dengan itu, dapat dilihat bahawa dengan pemansuhan UPSR mempengaruhi kemerosotan pelajar mengikuti aliran STEM di sekolah.
Seterusnya, penguasaan bahasa juga merupakan salah satu faktor bagi minat pelajar terhadap STEM. Hal ini kerana, kebanyakan sekolah menggunakan Bahasa Inggeris sebagai pengantar dalam aliran STEM atau lebih dikenali sebagai Dual Language Programme (DLP). Namun, dalam konteks ini penggunaan DLP tidak selari untuk dilaksanakan di Malaysia kerana tidak semua pelajar dapat menguasai Bahasa Inggeris sepenuhnya terutama dalam mempelajari STEM. Sebagai contoh, pelajar yang kurang menguasai Bahasa Inggeris akan berasa takut untuk memilih bidang STEM kerana risau akan mengikis minat mereka terhadap STEM dan mendapat markah yang kurang cemerlang bahkan terdapat juga segelintir pelajar yang hanya sekadar menghafal subjek STEM menerusi pembelajaran DLP kerana mereka tidak memahami dengan lebih jelas konsep dan terma yang dinyatakan di dalam buku. Dengan keadaan sedemikian, akan menjadi lebih mudah bagi seseorang pelajar jika mempelajari STEM dalam bahasa yang sudah dikenali iaitu Bahasa Melayu kerana mereka sudah fahami dan kuasai dengan lebih menyeluruh. Justeru, dapat dilihat bahawa penguasaan bahasa juga merupakan salah satu daripada faktor pelajar kurang berminat terhadap STEM.
Dalam pada itu, setiap isu yang dibahaskan pasti ada jalan penyelesaiannya yang tersendiri. Dalam konteks pemansuhan UPSR, guru tidak mempunyai kuasa untuk menggubal semula sistem pendidikan negara akan tetapi guru di sekolah boleh melaksanakan inisiatif lain dari perspektif yang sewajarnya untuk megatasi kemorosotan pelajar mengikuti aliran STEM iaitu pihak sekolah hendaklah melaksanakan ujian berkala bagi menentukan tahap pencapaian pelajar di sekolah seperti ujian berkala awal tahun, pertengahan tahun dan juga akhir tahun sebelum menduduki ujian akhir sesi akademik (UASA) yang telah ditetapkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Sebagai contoh, guru akan dapat menilai tahap pencapaian serta kelemahan dan kekuatan pelajar melalui ujian yang dijalankan, dan sekaligus dapat menilai prestasi pelajar dari semasa ke semasa melalui ketiga-tiga ujian berkala tersebut. Dalam hal ini juga, pelajar dapat mengetahui dengan lebih jelas pretasi mereka sendiri dan pada masa yang sama dapat menilai minat dan kecenderungan mereka jika terarah kepada aliran STEM ataupun tidak. Dalam pada itu, ibu bapa dapat mengetahui dengan jelas pretasi pembelajaran anak-anak mereka melalui pencapaian ujian tersebut sekaligus dapat menyokong kecenderungan bidang anak mereka.
Seterusnya, peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bersama dengan guru STEM dalam menjayakan aktiviti dan program pendidikan berkaitan bahasa di sekolah. Hal ini kerana, ibu bapa sudah semestinya mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka dimana mereka juga berperanan dalam membantu pihak sekolah dalam menganjurkan aktiviti luar bilik darjah. Dalam konteks ini, peranan pihak PIBG sangat penting dalam membantu pihak sekolah terutama dari segi sumber kewangan dan kelengkapan dalam menjayakan program. Sebagai contoh, dengan melaksanakan program kelas intensif bahasa yang lebih berfokus kepada pelajar yang lemah dalam penguasaan bahasa dimana program tersebut ditaja sepenuhnya oleh pihak PIBG untuk menyediakan kelengkapan sepanjang program berlangsung dan bayaran kepada pihak guru yang mengajar kelas tersebut. Dengan ini secara tidak langsung. Justeru, peranan PIBG adalah penting dalam membantu pihak sekolah mengatasi kemerosotan pelajar mengikuti aliran STEM di sekolah.
Secara keseluruhan, semua pihak yang bertanggungjawab haruslah berganding bahu menggembleng tenaga bagi memastikan setiap isu dan faktor dapat diselesaikan dengan jayanya bersama-sama dalam merealisasikan Malaysia menuju ke arah negara maju menjelang 2030.
Oleh:
Wan Syarafana Asfa binti Mohd Basry
Dr Mohd Mokhzani Bin Ibrahim