Minat 'tone' mereka

Minat 'tone' mereka

mohamadridzuan@hmetro.com.my

MEREKA saling mengagumi kehebatan vokal masing-masing. Tidak hairanlah Noryn Aziz gembira dan teruja apabila digandingkan dengan trio 4Forty menerusi lagu Bintang ciptaan Imran Ajmain.

Noryn atau nama sebenarnya, Norazmahwati Abd Aziz, 50, dipertemukan dengan anggota 4Forty iaitu Adeep Nahar, Luqman Hakim dan Mohd Fakhiz menerusi projek khas album Cinta Sampai Akhir terbitan Cloudworks Entertainment.

“Pengasas Cloudworks Entertainment, Aszuad Zakaria mencadangkan pada saya untuk terbabit dalam lagu ini. Saya pula minat dengan suara dan tone mereka yang hebat.

“Tak dinafikan tone mereka sedap dan lain-lain. Setiap mereka ada keunikan tersendiri. Saya kenal mereka daripada grup terdahulu kerana mereka tak bergerak secara individu.

“Jadi itu yang saya fikir mengapa tidak, bergabung dengan mereka. Memang saya nak sangat bekerja dengan mereka. Kita pun pilih lagu. Macam saya, saya lebih suka lagu yang ‘fun-fun’,” katanya.

Menurutnya, dia sukakan lagu berkonsep energetik dan ada “groove” tersendiri untuk dinyanyikan.

“Lebih kurang begitulah yang saya mahukan. Jadi kita masuk studio tahun lalu dan akhirnya dah keluar. Ia lagu Imran tapi susunan muzik dibuat oleh Azlan Abu Hassan.

“Saya sukakan lagu begini. Pada saya, pilihan ini takkan salah kerana lagu begini energetik, fun dan bila-bila masa pun sesuai. Berbanding kita buat lagu sedih atau lagu galau.

“Saya tidak berapa kena sebagai penyanyi lagu galau. Sebenarnya saya bukan penyanyi lagu melodi Melayu. Saya bukan kategori itu,” katanya.

Bukan bermaksud dia memperkecilkan melodi Melayu kerana menurutnya, dia sentiasa menghargai kebolehan setiap penyanyi, dengan genre masing-masing.

“Cuma saya lebih terarah kepada R&B dan jazz. Saya pun sentiasa aktif dan pada 2023 ada keluarkan single berjudul Kau. Sekarang barulah dengan single Bintang.

“Sebelum ini saya fikir macam sangat berhati-hati nak keluarkan lagu. Tapi saya fikir macam kenapa saya nak jadi macam itu. Saya kena aktif dalam industri.

“Saya kena terima, itulah diri saya. Saya masih nak menyanyi dan masih lakukan perkara berkaitan muzik. Saya masih mengajar vokal. Saya ada studio sendiri,” katanya.

Menurutnya, orang akan datang kepadanya untuk belajar dan ia satu kepuasan buatnya kerana dia mempunyai kelayakan dalam muzik.

“Karier ini saya tak boleh lepaskan begitu sahaja. Tapi saya memang pilih kerana dalam satu masa saya tak buat banyak sangat. Yang datang ialah orang yang minat muzik.

“Ada yang penyanyi dan ada orang biasa. Biasanya orang datang kat saya kerana mereka ada show. Contohnya orang ada pertandingan,” katanya.

Noryn turut bersyukur kerana tawaran mengadakan persembahan juga tidak putus-putus diterimanya.

“Alhamdulillah… rezeki saya. Ia bukan setakat menyanyi atas pentas, tapi lebih kepada kebolehan mengendalikan show sepenuhnya.

“Pelanggan bagi tempoh masa tertentu contohnya 15 minit untuk kita menyanyi. Jadi masa itu, nak buat apa kan? Saya bukan jenis naik pentas dan menyanyi, itu saja.

“Jadi pengalaman saya, mestilah berbeza dengan orang muda. Semua pun datang daripada pengalaman. Ia berbeza, lebih matang dan lebih ada isi berbanding orang lain,” katanya.

Dia turut berkongsi berita gembira apabila akan muncul dengan showcase istimewa This Is Noryn Aziz yang dijadualkan pada 19 September ini.

“Ia lebih terbuka kepada semua golongan peminat yang nak datang dan “enjoy the show.” Saya janjikan sesuatu yang berbeza dan selama ini pun sering bagi yang berbeza.

“Selalunya saya buat persembahan di lokasi kecil yang peminat boleh masuk sekitar 100 orang. Ia lebih intim dan dekat dengan mereka yang hadir.

“Sekarang saya akan buat untuk 500 peminat di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Konsep persembahannya ibarat penceritaan sepanjang karier saya sampai sekarang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top