rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengesahkan kejadian dua anggota tentera hilang dengan seorang sudah ditemukan meninggal dunia di Pulau Mataking, Semporna, Sabah, semalam.
Menerusi kenyataan oleh Bahagian Hal Ehwal Awam, Markas Angkatan Tugas Bersama 2 Pangkalan Operasi Hadapan (POH) Kem Kukusan, Tawau, dua anggota daripada Kompeni C, Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD) sedang melaksanakan Operasi PASIR Sektor Semporna Siri 3/2025 sebelum dilaporkan hilang.
“Salah seorang daripada mereka, Prebet Muhammad Irfan Haiqal Abdullah, 20, ditemui tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di lokasi selepas bantuan perubatan diberikan.
“Manakala seorang lagi anggota, Prebet Muhammad Zulkarnain Jaffar, 27, masih belum ditemui,” kata kenyataan itu
Menurut kenyataan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim).
“Kejadian dipercayai berpunca daripada insiden lemas, namun siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.
Katanya, pihaknya akan memaklumkan sebarang perkembangan insiden itu dari semasa ke semasa.
Media terdahulu melaporkan, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, kedua-dua anggota itu didapati tidak berada dalam barisan semasa semakan rutin.
Berikutan itu, operasi pencarian digerakkan dengan bantuan semua anggota tentera di lokasi sebelum mendapatkan bantuan bot daripada pihak resort berhampiran.
Pada jam 9.25 malam, pasukan pencari menemui seorang anggota dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan pantai pulau berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




