MINDEF sedia perluas khidmat veteran ATM sebagai warden jika ada permintaan

MINDEF sedia perluas khidmat veteran ATM sebagai warden jika ada permintaan

am@hmetro.com.my

Tawau: Kementerian Pertahanan (MINDEF) bersedia memperluas khidmat veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai warden di sekolah jika terdapat permintaan daripada Kementerian Pendidikan (KPM) susulan pelaksanaan awal program penempatan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata ketika ini seramai lapan veteran ATM sudah ditempatkan di beberapa MRSM sebagai projek rintis dan akan dinilai dalam tempoh lapan bulan sebelum diputuskan untuk diperluas.

“Kita sedang menilai keberkesanan pelaksanaan ini dengan MARA. Jika ada permintaan tambahan sama ada daripada KPM atau agensi lain, MINDEF bersedia memberi kerjasama.

“Ini kerana veteran kita memang terlatih dalam pelbagai lapangan serta berpengalaman luas,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Pos Kawalan dan Program Peduli Veteran MADANI ATM (PVM) di Pulau Sebatik, di sini, hari ini.

Beliau berkata kerjasama dengan KPM juga sudah lama wujud melalui program Civil-Military Cooperation (CIMIC) termasuk bidang pendidikan, manakala untuk penempatan warden khusus, ia akan dilihat berdasarkan permintaan rasmi kementerian berkenaan.

Terdahulu, Adly mengadakan lawatan kerja ke Pulau Sebatik bagi meninjau kesiapsiagaan pasukan keselamatan yang berkubu di kawasan bersempadan darat dengan Indonesia itu.

Beliau diberi taklimat operasi Kawasan Tanggungjawab (KTJ) ESSCOM, selain meninjau pos-pos kawalan termasuk Batalion Ke-14 PGA di Burst Point dan Wallace Bay, Pos Gabungan ATM-PDRM di Kampung Sungai Kuning serta pos kawalan Batu Sempadan Malaysia-Indonesia di Kampung Sungai Melayu.

Menurutnya, Pulau Sebatik akan terus diperkukuh dari semua aspek pertahanan melalui pembangunan pos-pos baharu ATM, operasi bersepadu dan kerjasama dengan agensi keselamatan lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Pertahanan kita penting bukan hanya di Pulau Sebatik, tetapi seluruh Sabah. Paling utama, ia mesti seiring dengan pembangunan sosioekonomi penduduk setempat supaya kesejahteraan rakyat di perbatasan dapat dijamin,” katanya.

Menjawab soalan mengenai projek pembinaan Pos ATM di Kampung Sungai Haji Kuning, Adly berkata MINDEF akan bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan ESSCOM bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar selepas penelitian lanjut dibuat.

Beliau turut menegaskan rancangan menaik taraf pos-pos sempadan akan diberi keutamaan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) agar keselamatan Sabah terus diperkukuh serta ekonomi perbatasan dapat dimajukan.

Selain meninjau operasi sempadan, Adly turut menyantuni tujuh veteran ATM dan keluarga mereka di Kampung Sungai Tongkang menerusi Program Peduli Veteran MADANI ATM (PVM).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top