Kementerian Pertahanan (MINDEF) kini menjalankan pembaharuan besar dalam proses perolehan aset pertahanan bagi memastikan setiap keputusan lebih telus dan diyakini.
Langkah ini datang selepas arahan pembekuan aset strategik dikeluarkan, bagi mengekalkan integriti dan keselamatan negara.
Perkara tersebut bagi menjawab soalan daripada Senator Datuk Edward Linggu Bukut yang sebelum ini mahukan penjelasan lebih cerah berkenaan tempoh pembekuan, kategori perolehan yang terkesan, serta mekanisme baharu demi meningkatkan ketelusan.
Tapis semua proses perolehan
Menjawab soalan itu tersebut Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan bahawa MINDEF telah mengeluarkan Arahan Pegawai Pengawal Bil. 2 Tahun 2026 selaras dengan saranan Perdana Menteri.
“Selaras dengan arahan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Kementerian Pertahanan telah mengeluarkan Arahan Pegawai Pengawal Bil. 2 Tahun 2026 untuk membekukan dan menangguhkan pelaksanaan perolehan aset pertahanan, bagi memastikan proses perolehan dilaksanakan dengan lebih telus dan mematuhi peraturan yang berkuatkuasa,” ujarnya.

Proses perolehan aset strategik diteruskan dengan syarat
Walau bagaimanapun, kerajaan membenarkan urusan perolehan aset strategik diteruskan dengan syarat mengikuti kerangka tadbir urus baharu yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.
Kerangka ini demi memastikan jawatankuasa dan Lembaga Perolehan dianggotai oleh pegawai yang benar-benar mahir, termasuk penglibatan rentas kementerian, supaya setiap keputusan lebih kukuh dan diyakini.

MINDEF turut menegaskan bahawa perolehan aset strategik akan dinilai semula dan diiklan semula bagi memastikan tiada kompromi terhadap kepentingan kritikal pertahanan negara.
Sementara itu, perolehan tidak strategik seperti perkhidmatan pembersihan, kawalan keselamatan tanpa senjata, dan bekalan pejabat boleh diteruskan tanpa penilaian semula.
“Dengan panduan daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Pertahanan dapat melaksanakan pembaharuan dan penambahbaikan demi memantapkan integriti dan ketelusan dalam tadbir urus perolehan, agar pembekuan perolehan aset strategik dapat berakhir,” jelasnya lagi.

Artikel lain: MINDEF sedang kerja keras pulihkan integriti, wibawa ATM – Mohamed Khaled
Dengan langkah tersebut, setiap perolehan bukan sahaja lebih telus, tetapi keputusan yang dibuat juga lebih diyakini.
Kerajaan juga sangat menekankan keselamatan negara tetap menjadi keutamaan, sambil memberi ruang kepada pegawai mahir untuk membuat keputusan kritikal yang memberi impak terus kepada kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia.




