am@hmetro.com.my
Johor Bahru : Seramai 32 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dalam serbuan beberapa premis perniagaan milik warga asing yang dikenali sebagai ‘Mini Pakistan’ di Ayer Hitam, Batu Pahat, semalam.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, kebanyakan Pati yang ditahan adalah pekerja kedai perabot dan karpet.
Katanya bertindak atas maklumat dan risikan awal, menerusi Ops Belanja, Ops Selera, Ops Sapu dan Ops Kutip ini, pihaknya menahan seramai 20 lelaki warga Pakistan, sembilan (Bangladesh) dan tiga (Indonesia).
“Operasi bermula jam 2.25 petang membabitkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Penguat kuasa Negeri Johor dan pegawai Bangunan Sultan Iskandar dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Pati yang ditahan berusia antara 20 hingga 54 tahun. Turut ditahan tiga lelaki warga tempatan yang juga pemilik premis dan penyelia kepada warga asing berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal di Malaysia setelah Pas atau Permit tamat atau dibatalkan dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.
Mohd Rusdi berkata, dua warga tempatan ditahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing.
Seorang lagi warga tempatan dan seorang warga asing yang berperanan sebagai penyelia ditahan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 kerana membenarkan warga asing masuk dan tinggal di dalam premis.
Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd