surayaroslan@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: “Minta ampun, saya janji tak buat lagi.” Demikian rayuan pekerja logistik yang didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini kerana menulis hantaran komunikasi jelik dengan menghina kerabat diraja, empat tahun lalu.
Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap Tan Yong Hua, 41, selepas lelaki itu mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Melayu.
Mahkamah juga memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Sebelum itu Siti Aminah bertanya tertuduh sama ada dia berjanji tidak akan melakukan perkara itu lagi.
“Ya, janji tak buat lagi, minta ampun,” kata lelaki itu.
Tertuduh didakwa melalui aplikasi Instagram dengan menggunakan nama profil ‘ogbadboyterryt’ secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain antara 6 dan 7 November 2021.
Hantaran itu kemudian dibaca di sebuah kondominium di Jalan Taman U-Thant, Wangsa Maju, dekat sini, pada 7 November 2021.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Mengikut fakta kes, tertuduh membuat dan menghantar satu hantaran bersifat jelik yang dibaca oleh pengadu, Tun Putera Ahmad Aizuddin Shah Dato Mohamed Johan.
Pengadu yang berasa sakit hati apabila membaca hantaran yang bersifat jelik membuat laporan polis bahawa tertuduh sememangnya sedar dan tahu bahawa hantaran yang dibuat itu adalah satu hantaran yang bersifat jelik serta menghina institusi diraja.
Keterangan menunjukkan tertuduh melakukan perbuatan itu bertujuan untuk menyebabkan orang ramai yang membaca hantaran itu berasa marah dan sakit hati.
Tertuduh kemudiannya ditangkap polis pada 10 malam, 26 November 2021 dan polis merampas satu telefon bimbit, sekeping simkad serta hasil Analisa Media Sosial yang dilakukan oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
(SKMM) mengesahkan bahawa akaun Instagram ‘ogbadboyteryt’ adalah kepunyaan dan dikendalikan oleh tertuduh.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah memohon hukuman berat sebagai pengajaran bukan saja kepada tertuduh tetapi masyarakat amnya.
“Komen tertuduh telah menyentuh institusi diraja yang mana sebagai warga bertanggungjawab perlu peka yang menjadi tiang seri negara.
“Pendakwaan mohon satu hukuman yang keras bagi memberi pengajaran kepada masyarakat untuk tidak menyentuh perkara 3R terutama institusi diraja dalam mengendalikan media sosial yang mana setiap komen boleh dibaca oleh keseluruhan masyarakat dan membangkitkan kegusaran awam,” katanya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda dikurangkan berikutan tidak mempunyai pekerjaan tetap.
“Saya hanya menanggung diri sendiri, tiada keluarga, saya bekerja di bahagian logistik tetapi tangan cedera jadi tiada kerja tetap,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




