'Minta maaf pak cik, janji tak buat lagi' – rayu tiga budak lelaki

'Minta maaf pak cik, janji tak buat lagi' – rayu tiga budak lelaki

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya minta maaf pak cik… saya janji tak nak lagi (menunggang basikal tanpa brek), nanti saya tambah brek. Saya jual (basikal di kedai) besi buruk sekarang pun boleh.”

Itu antara rayuan tiga kanak-kanak lelaki yang meminta simpati kepada anggota polis apabila mereka ditahan kerana menunggang basikal tanpa ciri keselamatan termasuk tiada brek dalam sebuah video tular.

Video berkenaan meraih 2.1 juta tontonan dan rata-rata netizen terhibur dengan pelbagai alasan yang diberikan kanak-kanak terbabit supaya tidak ditahan dan dibawa ke balai polis.

Rakaman video itu memaparkan tiga kanak-kanak lelaki dianggarkan berusia sembilan hingga 11 tahun ‘cuak’ dan menangis sambil memberi pelbagai alasan lucu, semata-mata tidak mahu dibawa ke balai polis. Mereka memberikan alasan brek basikal yang dibeli secara dalam talian masih belum sampai, mahu melawat datuk di hospital, sanggup menjual basikal ke kedai besi buruk, mengakui basikal bukan basikal lajak serta berulang kali berjanji tidak akan mengulangi perkara sama dan akan memasang brek baharu.

Menyemak di ruangan komen, netizen mengakui tindakan kanak-kanak terbabit menunggang basikal tanpa brek mengundang bahaya, malah turut memuji tindakan dilakukan anggota polis yang disifatkan memberi peringatan dalam mendidik mengenai aspek keselamatan jalan raya.

Seorang pengguna TikTok, Izz Aishah mengakui dia tidak akan marah jika kejadian sama berlaku kepada anaknya kerana menunggang basikal tanpa brek di jalan raya berisiko mengundang bahaya.

“Kalau saya biar saja anak kena ‘warning’ (diberi amaran) seperti ini. Kadang-kadang mak ayah marah kat belakang, mereka buat juga dan tak takut. Biar abang polis beri amaran baru tahu langit tinggi ke rendah,” tulisnya.

@Brother05 menulis, “Abang polis itu sekadar mendidik sahaja,” dan pendapat sama turut diakui @Dborbeo yang menulis, “Terima kasih Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana mendidik anak bangsa,” tulisnya.

Sementara itu, @Farah berkata, tindakan anggota berkenaan wajar dilakukan kerana menunggang basikal tanpa brek di jalan raya mengundang bahaya dan @Magnaidu juga berkongsi pendapat sama biarpun kasihan melihat reaksi kanak-kanak itu, namun amaran perlu diberikan supaya kejadian sama tidak berulang.

“Ini satu pengajaran kepada budak lain yang suka menunggang basikal di jalan raya, ‘salute’ kepada abang polis,” tulis seorang pengguna TikTok, Sasa6780.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top