Mintah tak sabar sarung jersi Harimau Malaya

Mintah tak sabar sarung jersi Harimau Malaya

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Kami akan berjuang untuk negara, dan perlu berusaha sebaik mungkin”.

Demikian reaksi penyerang naturalisasi terbaharu skuad Harimau Malaya, Jordan Mintah yang mengakui tidak sabar menyarung jersi negara di pentas antarabangsa.

Mintah, 30, yang menerima kerakyatan negara ini pada Ogos lalu selepas memenuhi syarat beraksi dan menetap selama lima tahun berturut-turut kini berpeluang meraih caps pertama dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos, Khamis ini.

Jelas Mintah, perkara paling penting adalah semua pemain perlu bekerja keras untuk bersama-sama memberikan persembahan terbaik dan membuatkan seluruh penyokong Harimau Malaya bangga.

“Saya hanya buat yang terbaik dan kami perlu bekerja keras bersama-sama untuk membawa pasukan negara melangkah ke hadapan.

“Kami akan berjuang untuk negara, jadi kami harus memberikan yang terbaik 100 peratus dan membuat negara bangga,” kata penyerang Kuching City FC itu.

Mintah mula menyertai Liga M pada 2020 yang mana ketika itu dia bersama pasukan Terengganu II selain turut beraksi bersama Terengganu dan Kuala Lumpur City sebelum berhijrah ke Kuching City.

Pemain berasal dari Ghana itu menjadi pemain naturalisasi Malaysia yang kesembilan selepas Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula, Sergio Aguero, Lee Tuck, Romel Morales, Paulo Josue dan Endrick dos Santos.

Harimau Malaya terbang ke Laos, hari ini bagi mengharungi aksi ketiga Kumpulan F di Vientiane, Khamis ini sebelum kedua-dua pasukan sekali lagi akan bertembungan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 14 Oktober ini.

Skuad Peter Cklamovski kali ini bagaimanapun akan berjuang tanpa tujuh pemain warisan termasuk Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Ia susulan mereka dikenakan penggantungan selama 12 bulan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas didakwa melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top