TEHERAN – “Dunia perlu bersedia sekiranya harga minyak melonjak hingga AS$200 setong”.
Amaran tegas itu diberikan jurucakap Pusat Perintah Iran, Ebrahim Zolfaqari selepas Amerika Syarikat (AS) bersama sekutu kuatnya, Israel terus memperhebat kempen pengeboman ke atas infrastruktur penting di Teheran.
“Harga minyak global bergantung kepada keselamatan serantau yang telah digugat oleh Washington,” katanya selepas kira-kira enam kapal perdagangan di perairan Teluk Parsi dibedil dalam tempoh 48 jam kerana ingkar dengan arahan mereka.
Iran yang tidak gentar dengan hujan bom bertubi-tubi dilancarkan musuh sejak lebih seminggu lalu juga tidak teragak-agak mahu mencetuskan kejutan ekonomi berpanjangan.
Komuniti antarabangsa mula merasai impak konflik di Asia Barat selepas harga minyak meningkat kepada hampir AS$120 setong pada awal minggu lalu sebelum kembali stabil pada harga kira-kira AS$90 dan meningkat kepada hampir 5.0 peratus pada Rabu di tengah-tengah kebimbangan baharu tentang gangguan bekalan manakala indeks saham utama Wall Street pula dilaporkan merosot.
Bagi meredakan ketegangan yang berlarutan selama hampir dua minggu, Teheran telah menetapkan tiga syarat utama.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian memberitahu dua pendekatan untuk menamatkan perang ganas itu adalah dengan mengiktiraf hak Teheran dan memberikan jaminan kukuh bagi menghalang sebarang pencerobohan pada masa akan datang.
“Langkah ketiga pula menghendaki pihak yang memulakan konflik ini juga perlu membayar pampasan kerosakan akibat perang,” katanya menerusi catatan di media sosial.
Difahamkan, Pezeshkian mengemukakan tuntutan itu selepas beliau bercakap dengan pemimpin Rusia dan Pakistan.
Menurut laporan media tempatan, operasi bersama AS dan Israel sejak 28 Februari lalu telah menyasarkan lebih 16,000 unit kediaman.
“Sebanyak 19,734 bangunan bukan tentera jadi sasaran. Selain itu, 77 pusat perubatan dan 16 fasiliti Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) juga dibedil sepanjang tempoh tersebut,” menurut data rasmi itu lagi.
Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump yang tidak menetapkan garis masa operasi ketenteraan tersebut menyatakan beliau masih enggan menghentikan peperangan tersebut.
“Kami ‘menang’ dalam pertempuran itu. Tetapi, kami belum mahu tamatkan lebih awal kerana perlu selesaikan misi terlebih dahulu. Kami tidak mahu kembali berperang untuk setiap dua tahun,” katanya dengan angkuh.
Tanpa memikirkan impak keputusan semberono beliau yang ‘gila berperang’ terhadap dunia, pemimpin Republikan itu juga dengan yakin memaklumkan harga minyak dunia kononnya akan turun kerana Teheran ‘sudah hampir sampai ke penghujungnya’.
Sehingga kini, objektif utama kempen pencerobohan di bawah Operasi Epic Fury itu masih tidak jelas meskipun Washington dan Tel Aviv mendakwa matlamat sebenar mereka kononnya mahu mengekang kuasa Iran dari luar sempadan serta menghapuskan program nuklear yang ditakuti Barat. – Agensi
Ringkasan AI
- Dunia perlu bersedia jika harga minyak melonjak hingga AS$200 setong menurut jurucakap Pusat Perintah Iran, Ebrahim Zolfaqari
- Amerika Syarikat dan Israel meningkatkan kempen pengeboman ke atas infrastruktur penting di Teheran
- Harga minyak global naik hampir AS$120 setong awal minggu lalu akibat konflik di Asia Barat sebelum stabil di kira-kira AS$90
- Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menetapkan tiga syarat utama untuk mengakhiri konflik termasuk pengiktirafan hak Teheran
- AS dan Israel menyasarkan lebih 16,000 unit kediaman dalam operasi bersama mereka sejak 28 Februari lalu



