Walaupun berlaku kenaikan mendadak dalam pasaran minyak dunia, namun kerajaan tidak pernah sesekali mengambil kesempatan itu untuk menaikkan harga RON95.
Menurut laporan Sinar Harian, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga minyak demi menjaga kebajikan rakyat dan ekonomi negara.
Harga RON95
“Minyak ini harganya naik turun. Sekarang ini keadaannya (harga global) agak rendah, tetapi bila naik, ia naik mendadak.
“Namun kerajaan tidak menaikkan harga minyak kerana mengambil kira kesannya kepada rakyat,” katanya pada sidang akhbar selepas Seminar Pemantapan Organisasi dan Pertemuan Bersama Presiden Keadilan di Medini pada Khamis.
Menurut laporan media antarabangsa yang memetik akhbar Turkiye Hurriyet, harga minyak berpotensi melonjak sehingga AS$130 setong sekiranya Iran mengambil keputusan untuk menutup Selat Hormuz.
Tindakan tersebut dikatakan sedang dipertimbangkan oleh Iran sebagai tindak balas terhadap serangan yang dilancarkan oleh Israel. Kenyataan itu disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa Keselamatan Negara dan Dasar Luar Parlimen Iran, Esmail Kowsari pada Sabtu lalu.
Artikel lain: Kerajaan tangguh laksana semula GST sebab pendapatan rakyat rendah – PMX
Harga RON95
Selat Hormuz merupakan laluan penting yang mengendalikan sekitar 20 peratus daripada penghantaran minyak global. Ia juga melibatkan kira-kira 80 peratus perdagangan minyak dan gas asli cecair (LNG) dari negara-negara seperti Iran, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Laporan tersebut turut meramalkan konflik antara Israel dan Iran akan terus berlarutan. Kesan terhadap ekonomi global pula dijangka bergantung kepada tempoh serta sejauh mana konflik tersebut memuncak.
Sumber: Sinar Harian (Nor Azura Md Amin)