“Kenapa nak tunggu kapal tangki lepas lalu Selat Hormuz baru nak turunkan harga minyak? Saya ulang, minyak kita tak lalu Selat Hormuz!”
Demikian antara tegas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Azman Ibrahim ketika mengulas isu harga minyak di Malaysia yang sebelum ini dibangkitkan oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, kenyataan Abdul Hadi bahawa tiada keperluan untuk kenaikan harga minyak kerana Malaysia mempunyai sumber petroleum sendiri adalah berasas dan disokong dengan realiti industri minyak negara.
“Kenyataan Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang bahawa kenaikan harga minyak tak sepatutnya berlaku kerana negara kita ada produk sendiri adalah tepat dan disokong dengan fakta.
“Di perairan Terengganu terdapat kira-kira 120 buah pelantar minyak yang sedang beroperasi. Saya tidak nyatakan angka dengan tepat kerana bilangan pelantar sentiasa berubah, ada yang ditutup dan ada yang baru dibuka,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Azman, minyak mentah dari pelantar berkenaan akan disalurkan ke Loji Penapisan Minyak PETRONAS di Kerteh sama ada melalui saluran paip dasar laut atau kapal tangki sebelum diproses menjadi pelbagai produk petroleum untuk kegunaan domestik.
“Di loji Kerteh ini, minyak mentah diproses menjadi pelbagai produk petroleum untuk kegunaan negara kita,” ujarnya.
Terdahulu, Abdul Hadi menegaskan bahawa tidak wajar harga minyak dinaikkan di Semenanjung Malaysia memandangkan negara ini memiliki sumber petroleum sendiri serta tidak terlibat dengan sekatan antarabangsa di laluan Selat Hormuz.
Sumber: Facebook Dr Azman Ibrahim




