Mira Filzah takut nak komen isu curang

Mira Filzah takut nak komen isu curang

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pelakon Mira Filzah, 32, tetap dengan pendirian dirinya untuk tidak memberi komen terhadap isu curang walaupun membabitkan penceritaan drama terbaharu lakonannya, Curang Tanpa Niat.

Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman berkata, dia tidak berani untuk memberikan sebarang komentar berkaitan isu curang yang terkait dengan pasangan dan rumah tangga itu.

“Dengar tajuk drama ini, Curang Tanpa Niat pun sudah menakutkan. Sebab, boleh ke curang itu dilakukan tanpa niat? Umpama, tidak sengaja atau mungkin kebetulan.

“Secara umumnya, saya tidak pernah berada dalam kedudukan atau situasi itu (pasangan curang). Tetapi, perkara sebegini pasti membabitkan dua belah pihak. Takutlah nak komen,” katanya kepada Harian Metro.

Mira kini muncul dengan drama Curang Tanpa Niat arahan Eyra Raman sebanyak 34 episod yang disiarkan Astro Ria, jam 10 malam mulai Selasa lalu terbitan iFabulous Art Media & Event Sdn Bhd.

Melakonkan watak Elina, ibu seorang anak lelaki ini berkata, dia tetap berasa dirinya masih berdepan cabaran hebat untuk membawakan karakter itu dengan sebaiknya walaupun sudah 14 tahun berlakon.

Ujar Mira lanjut, cabaran dihadapinya itu bukan saja dari segi emosi tetapi psikologi yang perlu ditangani dengan tenang dan mengikut cara tersendiri.

“Watak Elina yang saya bawa dalam drama Curang Tanpa Niat ini memang diakui sangat memberi cabaran yang berat kepada saya sebab kena banyak bermain emosi dan psikologi serentak.

“Elina adalah seorang ‘true lover’ (pencinta sejati) yang percaya seumur hidupnya akan jatuh cinta pada seorang lelaki saja. Dia (Elina) juga penuh sifat keibuan, penyayang dan pemaaf walaupun selalu jadi sasaran orang berniat buruk termasuk suaminya.

“Terus-terang, saya sendiri tengok watak Elina ini memang kasihan dengan kehidupannya selepas berkahwin dan ada anak yang membuatkannya sangat ‘simple’, rileks dan tak bersiap sebab suri rumah sepenuh masa,” katanya.

Menurut Mira lagi, Elina itu memang diberikan ‘look’ emak-emak yang sentiasa kejar masa menguruskan keperluan keluarga, suami dan anak-anak tanpa memikirkan keinginan diri sendiri.

Selain Mira, watak utama drama Curang Tanpa Niat yang diinspirasi daripada drama The Office Wife itu dibintangi Shukri Yahaya sebagai Eshaal, Sharifah Sakinah (Astrid) dan Fadlan Hazim (Ashraff).

Ia turut dibarisi pelakon pembantu hebat lain seperti Hasnul Rahmat, Nafiez Zaidi, Zarina Anjoulie, Fauzi Nawawi, Shiela Mambo, Kaza Saisi, Evertt Gomes (Hero Remaja 2024), Aqza Aziz (Dewi Remaja 2024) dan ramai lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top