Misha Omar Cari Penyanyi Lelaki Berusia 21 Tahun Ke Atas, Ajak Nyanyi Bersama Di Showcase Back To Basic

Misha Omar Cari Penyanyi Lelaki Berusia 21 Tahun Ke Atas, Ajak Nyanyi Bersama Di Showcase Back To Basic

Penyanyi tersohor, Misha Omar mencari seorang penyanyi lelaki berusia 21 tahun ke atas untuk menyanyi bersama di showcase ‘Back To Basic’ yang bakal berlangsung pada 21 Disember ini.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Misha atau nama sebenarnya, Samihah @ Aisah Omar, 42, menerusi sebuah video di Instagram Story (IGs) miliknya, sebentar tadi.

Mengulas lebih lanjut, pelantun lagu ‘Masihkah Ada Rasa Itu’ ini turut menjelaskan pihaknya akan memilih penyanyi lelaki yang menetap di sekitar Semenanjung atau Lembah Klang bagi memudahkan sesi latihan menjelang showcase kelak.

“Bersempena dengan Showcase Misha Omar Back To Basic, saya ingin mencari seorang penyanyi lelaki yang ingin menyanyi dengan saya, dan awak haruslah berusia 21 tahun ke atas.

“Jadi jika awak adalah seorang penyanyi lelaki sila muat naik video awak menyanyi, ‘mention’ saya di IG dan jangan lupa letak #MishaOmarBackToBasic.

“Kalau boleh penyanyi lelaki itu menetap di Semenanjung atau di Lembah Klang. Buat adik-adik yang berada di Sabah dan Sarawak, saya minta maaf nanti awak susah untuk datang ke sesi latihan,” katanya.

Menariknya, individu lelaki yang bakal menyertai Showcase Misha Omar Back To Basic bukan sahaja berpeluang menyanyi bersama bintang terkemuka itu, malah akan menghadiri sesi pengajian vokal bersama Datuk Syafinaz Selamat.

“Penyanyi lelaki yang telah terpilih itu akan bersama-sama dengan saya menghadiri kelas vokal bersama Datuk Syafinaz Selamat yang akan ditanggung oleh saya.

“Mari kita bersama-sama merasai bagaimana melalui sebuah showcase di bawah satu produksi dan bekerja bersama golongan profesional seperti Jennifer Thompson, dan pemuzik hebat. Pastinya pengalaman ini akan menyeronokkan,” ujarnya.

 

Showcase Misha Omar Back to Basic bakal berlangsung pada 21 Disember ini bertempat di ODEUM, Jiospace, Petaling Jaya, jam 8:30 malam.

Misha akan menghiburkan peminat selama 90 minit dengan iringan pemuzik berprofil tinggi dianjurkan oleh Double M Productions.

Pesohor seni kelahiran Kelantan ini menggunakan khidmat Datuk Syafinaz Selamat selaku pengarah vokal meletakkan tanggungjawab pengarah muzik, Ayop Azril bersama sembilan pemuzik di bawah pimpinannya.

Manakala, Jennifer Thompson diberi kepercayaan selaku pengarah konsert, semenatara Simon Khoo menggalas tugas pengarah teknikal.

Tiket ‘Misha Omar Back To Basic Showcase’ akan  mula dijual pada 27 November 2024, jam 10 pagi di platform JIOTIX: https://www.jiotix.asia/

Artikel Berkaitan: Tanda Apresiasi Peminat, Showcase ‘Back To Basic’ Bakal Imbau Perjalanan Karier Misha Omar Lebih 2 Dekad 

Kredit foto: Ahma Dani

Scroll to Top