georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi Misha Omar tersentuh dengan kesungguhan anak sulungnya Muhammad Adam Emir atau Adam mahu menjadikan pramugara sebagai kerjaya tetapnya.
Misha, 44, berkata dia sendiri menemani Adam, 20, menghadiri temuduga di sebuah syarikat penerbangan tempatan, baru-baru ini bagi memberi semangat sepanjang proses terbabit.
“Saya yang cadangkan dia untuk cuba pramugara sebenarnya dan Adam terus tunjukkan minat. Saya baru bawa dia pergi temuduga beberapa hari lalu kerana itu adalah temuduga pertamanya.
“Dia banyak bertanya susah tak, buat kajian, dan bila tengok dia berminat, saya harus sokong. Sebab dia pun pernah bertanya, macam mana saya boleh bertahan lama sebagai penyanyi, dia nak bertahan begitu juga dalam kerjaya.
“Kali ini, saya nampak sangat kesungguhannya, dia tunjuk minat serius,” katanya ditemui pada pelancaran muzik video (MV) lagu baharunya berjudul IDLYA, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Misha memberitahu rezeki belum berpihak buat Adam apabila tidak melepasi pemeriksaan indeks jisim tubuh (BMI) dan dia kini menjalani diet untuk kembali mencuba temuduga akan datang.
Menurutnya, Adam sudah berhasil menurunkan berat badan sebanyak tiga kilogram setakat ini.
“Disebabkan isu BMI, dia sekarang dalam proses menurunkan berat badan. Saya cakap kepadanya, bukan sekarang akan dapat terus (kerja), tapi sekurangnya ada pergerakan usaha ke arah itu.
“Kalau sebelum-sebelum ini nampaklah dia buat sesuatu hanya kerana untuk tujuan sambung belajar, belajar komputer sebab dia suka komputer. Tidak seperti kesungguhannya kali ini,” katanya.
Misha berkata, sebagai ibu semestinya dia mahukan kerjaya yang stabil dan menjamin buat Adam, namun tidak mahu menolak ke tepi soal minat anaknya atau memaksa dalam pilihan kerjaya.
“Sama seperti saya, saya minat menyanyi dan ceburi kerjaya ini untuk tempoh sangat lama. Saya juga nakkan dia bekerja dalam bidang yang dia minat. Saya banyak kongsi pengalaman sendiri dan dia faham minat itu penting.
“Walaupun sebagai ibu, kadang-kadang ada terlintas dalam fikiran untuk mempersoal apa yang kita buat sebenarnya. Tapi, apabila merasa hal itu betul, kita perlu ikut kata hati jika memang minat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




