Misi bebas hutang RM120,000 sebelum usia 40 tahun, bapa sanggup buat dua kerja

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Sungai Petani: “Perkongsian itu bukan sekadar ‘content’ (kandungan) tapi motivasi bagi mengingatkan saya untuk melangsaikan hutang yang ada.”

Itu kata Abdul Hakim Bazil Md Hakimi, 29, ketika berkongsi video di TikTok mengenai misinya melangsaikan hutang RM120,000.

Menerusi video dimuat naik, Abdul Hakim yang menetap di Bandar Perdana, di sini berkongsi kisahnya mencari pendapatan tambahan sebagai penunggang p-hailing.

Menceritakan kisah sebenar, Abdul Hakim yang juga bapa kepada seorang anak berumur setahun sembilan bulan berkata, misi itu bermula awal tahun ini kerana datang kesedaran untuk melangsaikan hutang.

Lantaran itu, dia yang mencari rezeki sebagai jurugambar berikhtiar menambah pendapatan dengan menjadi penunggang p-hailing.

“Hutang RM120,000 itu nampak besar tapi ia sebenarnya merangkumi pinjaman, pelajaran dan yang lain.

“Itu yang nampak banyak dan terdetik hati untuk mulakan usaha langsaikan hutang kerana nampak sudah sampai masanya berbuat demikian.

“Ia kerana tahun depan, usia saya sudah menginjak 30 tahun dan impian saya adalah bebas hutang sebelum berumur 40 tahun,” katanya kepada Harian Metro.

Abdul Hakim berkata, sebahagian hasil pendapatan diasingkan untuk disimpan di dalam tabung yang disediakan khas untuk misi melangsaikan hutangnya.

Buat masa ini, Abdul Hakim sudah mengumpul kira-kira RM5,000 dan sedar perjalanannya masih jauh jadi perlu berusaha lebih kuat.

“Jujurnya memang penat bila kena buat lebih satu kerja dan ada waktunya hampir patah semangat.

“Tapi saya kena kuatkan semangat dan kena biasakan diri bekerja daripada pagi sampai petang sehingga malam.

“Syukur waktu kerja fleksibel dan isteri pun faham apa saya lakukan ini adalah untuk kesenangan kami pada masa hadapan,” katanya.

Berhubung perkongsian di media sosial, Abdul Hakim berkata, niatnya berkongsi video di TikTok sekadar untuk mencipta memori namun tidak menyangka ia akan mengundang pelbagai reaksi.

“Ada yang salah sangka dan ingat saya buat pinjaman dengan along mungkin disebabkan jumlah hutang dinyatakan dalam video itu mencecah ratusan ribu ringgit.

“Tapi ramai juga yang terinspirasi dan nak ikut jejak langkah saya buat misi sama selain tawarkan buat ulasan berbayar dengan niat mahu membantu.

“Buat masa ini, saya tak ambil tawaran buat video ulasan berbayar tapi lebih gembira jika perkongsian itu membawa manfaat. Kalau boleh, saya mahu perkongsian itu membuka mata orang di luar sana mengenai kepentingan melangsaikan hutang.

“Bagi hutang wajib dibayar dan itu antara mesej saya cuba sampaikan menerusi perkongsian di media sosial,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top