Misi & emosi bersatu! Drama pendek ‘Surat Untuk Babah’ tonjol peranan CIMIC

Misi & emosi bersatu! Drama pendek ‘Surat Untuk Babah’ tonjol peranan CIMIC

Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dengan kerjasama OMM Media telah menjayakan tayangan perdana drama pendek Surat Untuk Babah pada 13 Februari 2026.

Majlis yang berlangsung di Auditorium Wisma Pertahanan itu dihadiri Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan (AKS OLP), Mejar Jeneral Dato’ Indera Zahari bin Mohd Ariffin, Setiausaha Bahagian (SUB) Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP), Encik Mohd Shahrizal bin Mohd Nor serta pegawai-pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Surat Untuk Babah rungkai ‘rahsia’ seorang wira…

Drama terbitan OMM Production ini mengisahkan Ilham, lakonan Muaz Zabir yang memberontak apabila Babah kerap tidak hadir dalam setiap momen penting kehidupannya, sehingga dia tertanya-tanya punca bapanya bertindak sedemikian.

Segalanya berubah apabila Babah dikhabarkan hilang ketika bertugas di luar negara, dan penemuan sekotak surat lama telah  merungkai pengorbanan tersembunyi yang akhirnya membuatkan Ilham sedar tentang bakti yang dicurahkan Babah buat masyarakat serta negara.

Melalui Unit Komunikasi Strategik Kementerian Pertahanan Malaysia, karya ini dihasilkan bertujuan untuk meningkatkan kefahaman mengenai Civil-Military Cooperation (CIMIC) atau Kerjasama Awam-Tentera, iaitu inisiatif ATM untuk membina hubungan erat bersama masyarakat menerusi bantuan kemanusiaan serta program komuniti.

surat untuk babah

Surat Untuk Babah dedah peranan CIMIC

Selama ini, masyarakat mungkin melihat tugas tentera adalah mempertahankan negara daripada diganggu musuh luar, namun hakikatnya peranan mereka jauh lebih luas.

Di negara aman seperti Malaysia, anggota tentera turut memikul tugas sekunder sebagai sandaran komuniti terutama ketika bencana dan pandemik.

Artikel lain: CIMIC tingkat kesedaran rakyat, pertahanan bukan tugas tentera semata – Mohamed Khaled

Tayangan perdana ini telah dihadiri kira-kira 500 tetamu terdiri daripada anggota tentera dan orang awam.

Majlis di akhiri dengan penyerahan cenderahati kepada pihak OMM Media sebelum sesi beramah mesra bersama barisan produksi.

Drama pendek ini mempunyai lima episod dan masih boleh ditonton di media sosial rasmi MINDEF.

Scroll to Top