hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Serdang: “Walaupun mereka dihalang dan ditahan namun misi mereka tetap ‘hidup’ kerana rakyat Gaza merasai kasih sayang dan solidariti merentasi lautan. Kapal boleh dihentikan tetapi semangat kemanusiaan demi keadilan tidak akan pernah dipadamkan,”.
Demikian kata Pengurus Besar Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Cawangan Gaza, Dr Ziad M Shehada ketika panggilan video secara langsung bersama Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar di pejabat badan bukan kerajaan (NGO) itu di sini, hari ini.
Menurutnya, seluruh rakyat Gaza turut bersedih dengan penahanan sukarelawan Malaysia yang ditahan rejim Israel terutama sembilan sukarelawan negara yang ditahan ketika menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG), hari ini.
“Atas nama anak yatim kehilangan kasih seorang ayah, atas nama ibu yang menangis di sisi anak-anak syahid mereka, atas nama yang kehilangan anggota badan serta harapan hidup dan setiap warga Gaza yang kehilangan rumah, perniagaan, harta serta serta orang tersayang.
“Kami ucapkan daripada lubuk hati kami yang paling dalam, terima kasih Malaysia, terima kasih MyCARE, terima kasih hero-hero dan delegasi-delegasi… terima kasih atas kemanusiaan, kesetiaan dan bimbingan yang tidak pernah kami lupakan,” katanya.
Sementara itu, Dr Ziad berkata, Gaza ketika ini menghadapi kehancuran besar selepas perang yang berlanjutan selama dua tahun dengan banyak fasiliti termasuk rumah, sekolah dan hospital musnah dibedil rejim Zionis.
Katanya, sistem kesihatan di Gaza juga sangat getir dengan banyak kemudahan yang rosak dan ketiadaan bekalan ubat termasuk panadol, malah bayi juga terpaksa berkongsi oksigen kerana peralatan perubatan tidak mencukupi dengan sebahagian kecil sahaja hospital yang beroperasi.
“Banyak hospital di utara Gaza ditutup, hanya satu hospital di sana beroperasi ketika ini, banyak akses jalan utama disekat dan ramai orang kurang mendapat bekalan air minuman yang menjadi antara masalah besar.
“Krisis makanan juga ditahap kecemasan (biarpun) situasi untuk makanan lebih baik namun ia (bekalan) masih terhad dan mahal,” katanya.
Beliau berkata, MyCARE juga melaksanakan projek pengagihan makanan kepada penduduk dengan pihaknya akan memasak makanan panas kepada lebih 3,000 orang setiap hari.
Katanya, ketika ini juga banyak organisasi bantuan atau NGO tidak dapat beroperasi sepenuhnya kerana situasi yang tidak stabil dan bergolak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




