Misi getir tiga kelab Inggeris

Misi getir tiga kelab Inggeris

London: Misi Liverpool mempertahankan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musnah selepas beberapa siri keputusan buruk sejak akhir September dan mereka berdepan cabaran untuk sekurang-kurangnya layak ke Liga Juara-Juara musim depan.

Kini pasukan Arne Slot kembali ke Istanbul pada awal pagi Rabu di mana mereka tewas 0-1 kepada juara Turkiye, Galatasaray, semasa fasa liga.

Kemaraan jauh dalam Liga Juara-Juara akan menjadi suntikan besar untuk Slot yang mendapat tekanan daripada peminat yang kecewa ketika prestasi merudum Liverpool.

Galatasaray menyingkirkan Juventus pada pusingan play-off, selepas menang 5-2 di tempat sendiri pada aksi pertama dan kemudian tewas 2-3 selepas masa tambahan di perlawanan kedua. Mereka mendahului Super Lig Turkiye dan menang 1-0 ke atas pesaing Istanbul, Besiktas, pada Sabtu dengan Victor Osimhen menjaringkan gol, jaringan ke-18 musim ini, tujuh daripadanya dalam kejohanan Eropah.

Dalam perlawanan lain, Bayern mungkin layak dianggap antara tiga atau empat pencabar utama untuk memenangi Liga Juara-Juara, ketika gergasi Jerman mengejar gelaran ketujuh mereka dalam kejohanan kelab elit Eropah.

Pasukan Vincent Kompany ke Itali untuk menentang Atalanta dengan kelebihan 11 mata di puncak Bundesliga dan memenangi tujuh daripada lapan perlawanan Liga Juara-Juara setakat ini.

Dengan gelaran Bundesliga hampir pasti dimenangi, Bayern merehatkan Harry Kane dan meninggalkan Michael Olise di bangku simpanan ketika menewaskan Borussia Moenchengladbach 4-1, kelmarin.

Dengan 45 gol dalam 37 perlawanan semua kejohanan musim ini, Kane berada dalam prestasi menakjubkan untuk mencapai rekod peribadi terbaik dalam satu musim pada Februari. Ketika menyisihkan kapten England itu buat pertama kali musim ini, Kompany berkata, Kane mengalami kecederaan betis dan akan kembali ke prestasi terbaik dalam beberapa hari.

Atalanta menyingkirkan Borussia Dortmund pada pusingan terakhir dan juga menewaskan Eintracht Frankfurt musim ini, jadi mereka pasti bersemangat untuk menghadapi cabaran lain menentang pasukan Jerman.

Tottenham pula kembali ke Metropolitano untuk berdepan Atletico Madrid, di mana mereka tewas kepada Liverpool dalam final Liga Juara-Juara 2019.

Namun, pasukan Spurs kini adalah bayangan kepada pasukan menarik Mauricio Pochettino, dan mereka berada dalam kedudukan pelik masih terlibat dalam saingan Eropah sambil berjuang untuk elak penyingkiran di EPL.

Jauh ketinggalan dalam La Liga, Atletico pimpinan Diego Simeone memberi fokus penuh kepada sasaran piala untuk baki musim ini. Jurulatih Argentina itu membawa mereka ke final Liga Juara-Juara pada 2014 dan 2016 tetapi tewas kepada pesaing Real Madrid dan Atletico kini bertekad untuk menjuarai kejohanan itu buat pertama kali dalam sejarah mereka.

Menerima kunjungan Spurs yang sedang merudum, mereka akan cuba membina kelebihan pusingan pertama yang kukuh dan mengambil kesempatan susulan berada di bahagian yang secara teori lebih lemah dalam undian.

Setelah menewaskan Newcastle 2-1 di St James’ Park semasa fasa liga menerusi dua gol Marcus Rashford dan tanpa bintang muda Lamine Yamal, Barcelona akan berkeyakinan ketika berkunjung semula ke Tyneside untuk menentang Newcastle United.

Namun, skuad Hansi Flick masih ada kelemahan, terutamanya barisan pertahanan yang mudah dieksploitasi dan membuat mereka terdedah kepada kelajuan pemain di belakang, dengan Anthony Gordon dijangka menyukarkan pasukan Catalan.

Newcastle menghadapi musim yang lebih sukar di EPL selepas beberapa tahun kemajuan berterusan di bawah Eddie Howe. Mereka menewaskan Manchester United minggu lalu sebelum tewas dalam Piala FA kepada Manchester City yang membuat 10 pertukaran.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top