helmi.talkah@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Juara bertahan, UniKL berdepan misi hidup mati apabila turun menentang Maybank pada aksi terakhir Liga Hoki Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil esok.
Skuad bimbingan Megat Azrafiq Megat Termizi perlu menang perlawanan berkenaan bagi mengekalkan kejuaraan yang dimenangi mereka musim lalu.
Ketika ini, UniKL berada di tangga teratas liga apabila mengutip 16 mata, hanya satu mata dibezakan dengan penghuni tangga kedua, Pasukan Hoki Terengganu (THT) yang turut mengintai peluang bagi merebut gelaran juara.
THT akan turun menentang Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada aksi terakhir mereka yang berlangsung selepas perlawanan itu.
Megat Azrafiq berkata, dia percaya pemain sedar pentingnya perlawanan bertemu Maybank dan yakin anak buahnya akan memberikan komitmen lebih daripada 100 peratus bagi memburu kemenangan.
“Siapa yang mahu lepaskan peluang… kami tidak akan memandang mudah perlawanan bertemu Maybank. Kami tahu kemampuan Maybank, mereka ada pemain muda yang berlatih dengan saya sebelum ini dan saya kenal pemain yang ada dalam pasukan itu.
“Apa yang saya boleh katakan, kami akan beri saingan sengit. Sebelum mahu jadi juara, fokus kami adalah pertemuan dengan Maybank. Saya akan kaji corak permainan Maybank dan rancang strategi permainan terbaik bagi mengatasi mereka,” katanya.
Sementara itu, jurulatih Maybank, Azrul Effendy Bistamam berkata, anak buahnya tidak akan memberi laluan mudah buat UniKL kerana mereka juga turun untuk mengutip tiga mata bagi mengakhiri saingan liga dalam kelompok tiga terbaik.
“Sasaran kita adalah untuk berada dalam kelompok tiga teratas. Lagipun, memang sudah lama kita tidak mendapat podium dalam saingan liga.
“UniKL pasukan yang kuat kerana dibarisi pemain berpengalaman dan bekas pemain kebangsaan. Namun, saya yakin pemain muda yang saya miliki bersemangat untuk mencabar UniKL,” kata Azrul.
Selepas mengharungi enam perlawanan, Maybank ketika ini berada di tangga ketiga liga dengan 13 mata, satu mata dibezakan dengan TNB yang berada di kedudukan keempat.
Esok
UiTM mln Sabah, 6 ptg
UniKL mln Maybank, 6 ptg
TNB mln THT, 8 mlm
TNB Thunderbolts mln Nurinsafi, 8 mlm *Semua aksi di Stadium Hoki Nasional
© New Straits Times Press (M) Bhd