Moscow: Data mengenai misi kapal selam nuklear Perancis telah bocor dalam talian selepas anggota tentera laut di dalam kapal selam itu berkongsi aktiviti sukan mereka secara terbuka melalui aplikasi Strava, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Akhbar Le Monde pada Isnin melaporkan bahawa seorang anggota tentera laut, contohnya berkongsi sesi lariannya dengan tarikh dan laluan di sepanjang jeti tempat kapal selam berlabuh, sambil menambah bahawa “adalah sukar untuk kembali bersukan selepas 2.5 bulan terperap.”
Oleh itu, jadual latihan yang bertindih sekurang-kurangnya tiga anggota tentera laut, yang terhenti secara mendadak dan disambung semula selepas satu setengah hingga dua bulan, memungkinkan untuk mengenal pasti kemungkinan tarikh dan tempoh misi, menurut laporan itu.
Satu daripada pangkalan tentera laut paling rahsia terletak di pulau Ile Longue di luar pantai Atlantik Perancis berhampiran Brest, lapor akhbar itu. Ia menempatkan komponen tentera laut pencegahan nuklear Perancis: empat kapal selam nuklear, masing-masing mampu membawa 16 peluru berpandu dengan kepala peledak nuklear.
© New Straits Times Press (M) Bhd




