Misi Marquez buru gelaran dunia kelapan bermula di Thailand

Misi Marquez buru gelaran dunia kelapan bermula di Thailand

Buriram, Thailand: Juara bertahan Marc Marquez memulakan misi untuk meraih gelaran dunia MotoGP kelapan yang menyamai rekod legenda Itali, Giacomo Agostini apabila musim perlumbaan bermula di Thailand, minggu ini.

Pelumba Sepanyol itu menamatkan musim lalu dengan kebangkitan luar biasa selepas cedera untuk memenangi kejuaraan pertamanya sejak 2019.

Penunggang Ducati berusia 33 tahun itu berada dalam prestasi cemerlang sepanjang musim, menjuarai 25 perlumbaan termasuk pecut dan mengesahkan kejuaraan dengan lima perlumbaan berbaki.

Marquez terlepas empat perlumbaan terakhir musim lalu selepas cedera tulang selangka di Grand Prix Indonesia ketika gelaran sudah dalam genggaman. Kini beliau bersedia untuk kembali, dengan sasaran jelas menyamai rekod lapan gelaran kelas perdana.

“Kami mesti berjuang untuk kejuaraan sekali lagi,” kata Marquez kepada media ketika ujian pra-musim di Malaysia.

“Kami ada tekanan. Maksud saya, jika anda berada di pasukan Ducati Lenovo, anda mesti berjuang untuk kejuaraan, dan itu yang akan kami cuba lakukan.”

Marquez menghabiskan musim sejuk untuk pemulihan daripada kecederaan terbaru, dan mengakui belum kembali ke tahap kecergasan penuh di Malaysia.

Namun, beliau tetap menunjukkan prestasi mengagumkan walaupun adiknya, Alex Marquez, mencatat masa terpantas di Sepang. Alex menamatkan musim lalu sebagai naib juara dan berpotensi menyaingi abangnya lagi dalam kalangan pelumba berbakat.

Tidak kurang daripada lima juara dunia semasa atau bekas juara akan beraksi termasuk Marc Marquez, Jorge Martin, Francesco Bagnaia, Fabio Quartararo, dan Joan Mir.

Jorge Martin, juara 2024 mengalami kemerosotan musim lalu akibat cedera berterusan hingga tahun ini.

Francesco Bagnaia pula menghadapi musim untuk dilupakan, menamatkan di tempat kelima. Bagnaia berazam untuk kembali ke prestasi terbaik yang membawanya menjuarai dunia pada 2022 dan 2023.

“Boleh menunggang mengikut cara yang saya mahukan adalah lebih baik, termasuk untuk juruteknik yang perlu memahami perasaan kami,” kata Bagnaia, rakan sepasukan Marquez di Ducati.

“Dengan perasaan sebegini, kami boleh bekerja lebih baik dan memahami komponen dengan lebih tepat.”

Marco Bezzecchi (Aprilia) mempamerkan aksi cemerlang musim lalu dengan tiga kemenangan GP, termasuk dua perlumbaan terakhir dan memulakan 2026 dengan baik apabila mencatat rekod pusingan baru di Buriram semasa ujian pra-musim kedua di Thailand.

Pedro Acosta (KTM) juga menonjol musim lalu dan yakin untuk mencipta kemenangan GP pertama musim ini.

Grid turut menyambut wajah baru Toprak Razgatlioglu, juara Superbike tiga kali dari Turkiye yang akan menjadi pelumba pertama negaranya dalam MotoGP.

Diogo Moreira (Brazil), juara dunia Moto2 musim lalu, juga muka baru selepas menyertai Pro Honda LCR dan akan berlumba di negara sendiri apabila MotoGP kembali ke Brazil buat pertama kali sejak 1992.

Musim ini juga yang terakhir sebelum peraturan motosikal baharu yang radikal diperkenalkan bagi musim 2027.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top