rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Semoga perkongsian itu menjadi saham akhirat buat saya,” kata Muhamad Arif Aiman Che Ariffin, 24, yang menjalankan misi ‘masjid hopping’ atau ziarah masjid sepanjang Ramadan.
Menerusi misi itu, Muhammad Arif akan menziarahi masjid di seluruh Lembah Klang dan berkongsi keistimewaan masjid berkenaan menerusi rakaman video untuk tontonan pengikutnya di media sosial.
Usahanya itu mendapat perhatian dan pujian warganet selepas berkongsi video di TikTok.
Bercerita lanjut, Muhammad Arif berkata, misi berkenaan dilaksanakan bermula Ramadan tahun lalu selepas menamatkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
“Ia bermula selepas saya lihat ramai orang buat video ulasan mengenai makanan, tempat menarik, tandas dan sebagainya tapi tiada pula ‘review’ masjid.
“Jadi saya terlintas untuk buat ‘masjid review’ kerana sebenarnya negara kita ini ada banyak masjid yang cantik, nyaman dan tenang.
“Pada masa sama saya juga nak menggalakkan orang lain untuk sama-sama ziarah masjid sambil berbuka puasa dan solat Tarawih,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurutnya, setakat ini, dia sudah menziarah beberapa masjid di sekitar Kuala Lumpur dan Gombak.
Muhamad Arif berkata, dia melakukan ziarah bersama rakannya untuk berbuka puasa dan menunaikan solat Tarawih dengan jemaah lain.
“Sebenarnya semua ini dah bermula lama sejak zaman belajar lagi. Saya dan rakan akan pergi ke masjid untuk iftar dan solat Tarawih di Masjid UIA dan kadangkala kami akan cari masjid lain yang menarik.
“Apabila tamat pengajian, saya teruskan rutin sambil buat misi ini. Alhamdulillah saya dapat reaksi positif selepas kongsi video di TikTok.
“Mereka (pengikut) suka perkongsian saya mengenai minit per rakaat (MPR) bagi solat Tarawih kerana ramai yang nak tahu tempoh itu,” katanya.
Lebih menggembirakan Muhamad Arif apabila video misinya dikongsi oleh ribuan pengguna media sosial dan berharap ia menjadi panduan serta menarik minat orang ramai terutama anak muda untuk mengimarahkan masjid.
Selain Muhamad Arif, tinjauan di TikTok mendapati terdapat beberapa anak muda lain turut berkongsi video melaksanakan misi sama sepanjang Ramadan ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




