Santa Clara: Qatar kembali ke pentas Piala Dunia dengan satu misi jelas menebus kekecewaan pahit di edisi lalu apabila mereka menjadi tuan rumah tetapi menamatkan saingan tanpa sebarang kemenangan.
Selepas tewas semua tiga perlawanan pada 2022 dan hanya menjaringkan satu gol, skuad kendalian Julen Lopetegui kini hadir dengan reputasi lebih kukuh hasil kejayaan mempertahankan gelaran Piala Asia serta kelayakan yang lebih meyakinkan.
Namun, cabaran kali ini jauh lebih getir apabila mereka diundi dalam kumpulan yang turut menghimpunkan Switzerland, Bosnia dan tuan rumah Kanada.
Lopetegui mengakui realiti kekuatan lawan, namun menegaskan Qatar tidak akan menyerah sebelum bertarung.
“Kami perlu menerima hakikat bahawa kami akan berdepan Switzerland terlebih dahulu dan perlu bersedia memberikan yang terbaik.
“Kami tahu realiti sebenar kami, bahawa pesaing lebih kuat, tetapi itu tidak bermakna kami menyerah. Kami perlu bersedia untuk mencapai impian menjadi pencabar yang kuat,” katanya.
Qatar yang dibarisi majoriti pemain liga domestik dijangka bergantung kepada organisasi bertahan serta ketajaman Almoez Ali dan Akram Afif bagi mencipta impak di pentas global.
Di seberang padang, Switzerland hadir dengan keyakinan tinggi selepas prestasi konsisten termasuk tanpa kalah dalam aksi kompetitif sejak hujung 2024.
Pasukan kendalian Murat Yakin itu turut memiliki rekod cemerlang kelayakan apabila hanya bolos dua gol, selain mengekalkan teras pemain berpengalaman yang sudah mengumpul ratusan kaps antarabangsa.
Kapten Granit Xhaka sekali lagi dijangka menjadi nadi utama, disokong Manuel Akanji dan Ricardo Rodriguez, ketika Switzerland memburu penampilan lebih baik selepas sekian lama tersekat di pusingan 16 terbaik.
Yakin bagaimanapun enggan memandang rendah Qatar yang disifatkan sebagai ‘pasukan tidak diketahui’ dan mampu mencetus kejutan jika diberi ruang.
“Kita tidak boleh biarkan apa yang berlaku kepada Argentina ketika tewas kepada Arab Saudi empat tahun lalu berulang kepada kita.
“Pada akhirnya, kejohanan seperti ini memang hidup dengan kejutan,” katanya.
Perlawanan ini bukan sekadar aksi pembukaan Kumpulan B, tetapi pentas ujian sebenar antara pasukan yang mahu membina semula maruah dan pasukan yang mahu mengekalkan reputasi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




