Misi Syarifuddin, Sharul di Sepanyol

Misi Syarifuddin, Sharul di Sepanyol

sukhairi@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Dua pelumba muda negara di Kejuaraan CEV Repsol tekad memburu keputusan yang lebih baik pada Pusingan 3 di Litar Catalunya, Sepanyol hujung minggu ini.

Wakil tunggal Malaysia dalam saingan Kejuaraan CEV Moto3 Remaja Dunia, Syarifuddin Azman jelas mahu memperbaiki pencapaiannya di Litar Ricardo Tormo pada awal bulan lalu yang menyaksikan dia menamatkan dua perlumbaan masing-masing di tempat ke-12 dan ke-19.

Begitu juga Muhammad Sharul Ezwan Sharil yang beraksi dalam saingan European Talent Cup (ETC) yang menemui garisan penamat masing-masing di tempat ke-20 dan ke-16 pada pusingan sebelum ini. “Persiapan sangat bagus dan pada minggu ini, saya tidak mahu melakukan kesilapan seperti mana pada perlumbaan sebelum ini,” kata Syarifuddin yang mewakili pasukan SIC Racing dan setakat ini sudah mengumpul enam mata untuk berada di tangga ke-19 keseluruhan.

“Pada minggu ini, saya ingin melakukan peningkatan dalam sesi kelayakan, cuba mendapatkan keputusan yang baik dan berada di kelompok depan.”

Dalam pada itu, Sharul yang setakat ini meraih sembilan mata untuk berada di tangga ke-17 saingan, turut mengharapkan sesi kelayakan dapat membantunya meraih petak perlumbaan yang lebih baik.

“Minggu ini, saya harap dapat melakukan yang lebih baik berbanding perlumbaan sebelum ini dan dapat menunjukkan peningkatan pada sesi kelayakan dan meraih petak yang lebih baik,” katanya.

Pusingan 3 kali ini turut bakal menyaksikan penampilan pertama pelumba cilik negara, Hakim Danish Ramli yang bakal menemani Sharul dalam pasukan Liqui Moly Intact SIC Racing Team di saingan ETC.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top