Misi UPSI dekati mangsa banjir, salur bantuan

Misi UPSI dekati mangsa banjir, salur bantuan

razis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) turun padang menyalurkan bantuan keperluan asas dan menyediakan sesi kaunseling kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) sekitar Lumut, Perak melalui Misi Bantuan Fasa Pertama UPSI @ Banjir Lumut.

PPS yang terbabit termasuk di SMK Setiawan, SK Batu 10 Lekir, Kampung Pasir Panjang Laut dan Kampung Teluk Pancalang yang menempatkan ratusan mangsa berikutan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.

Naib Canselor UPSI, Prof Dr Md Amin Md Taff berkata, seramai 31 sukarelawan UPSI terdiri daripada staf pentadbiran, pensyarah, kaunselor, Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) pelajar Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) digerakkan dalam misi itu

“Kita menyalurkan sebanyak 400 selimut dan 90 pek makanan kering bagi memastikan keselesaan serta kecukupan bekalan kepada mangsa sepanjang berada di PPS.

“Pasukan profesional kaunseling UPSI turut menjalankan sesi sokongan psikososial khususnya kepada kanak-kanak bagi membantu mereka mengurus trauma dan tekanan akibat bencana,” katanya.

Md Amin berkata, penyertaan universiti dalam misi itu menggambarkan keprihatinan UPSI terhadap komuniti setempat, selain memperkukuh peranan institusi pendidikan dalam membantu masyarakat ketika berlakunya bencana.

“UPSI tidak sesekali mengabaikan tanggungjawab sosial kami. Kehadiran pasukan sukarelawan bersama bantuan ini adalah tanda solidariti warga UPSI dengan masyarakat yang sedang berdepan kesusahan,” katanya.

Menurutnya, aspek kaunseling yang dibawa dalam misi itu merupakan keperluan penting dalam situasi bencana, terutama kepada kanak-kanak yang sukar meluahkan emosi dan ketakutan mereka.

“Kadangkala trauma yang dialami kanak-kanak tidak terlihat pada mata kasar, tetapi kesannya sangat besar. Kaunselor kami hadir untuk memberikan ruang selamat bagi mereka meluahkan perasaan, sekali gus membantu memulihkan kestabilan emosi,” katanya.

Beliau berkata, UPSI kini merancang pelaksanaan fasa kedua bantuan yang akan memfokuskan kepada kerja-kerja pembersihan pasca banjir serta penyediaan bantuan lanjutan bagi mempercepat pemulihan kawasan terjejas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top