helmi.talkah@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Juara Olimpik, Chen Long tidak ‘kebal’ dan mana-mana pemain memiliki peluang untuk menumbangkan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016 itu termasuk jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia.
Zii Jia, 23, diramal bertemu Chen Long, 32, dari China sekiranya masing-masing mara ke pusingan 16 terbaik Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang akan bermula 24 Julai ini.
Legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek berkata, biarpun tahap prestasi Chen Long masih misteri selepas lebih setahun tidak beraksi dalam kejohanan kompetitif namun beliau percaya corak permainan pemain nombor enam dunia itu tidak banyak berubah.
“Jadi, apa yang perlu dilakukan Zii Jia adalah mengkaji permainan terbaik Chen Long sebelum ini. Lagipun, dia pernah menang ke atas Chen Long sebelum ini dan itu juga boleh membantu dia.
“Corak permainan pemain berpengalaman seperti Chen Long tidak akan banyak berubah, dia adalah pemain yang gemar bermain secara rali dan tidak mungkin tiba-tiba dia beraksi bermain secara menyerang.
“Bagi saya, tiada apa yang perlu dibimbangkan oleh Zii Jia. Lagipun, dia juga ada kelebihan kerana sudah beraksi dalam beberapa kejohanan sebelum Olimpik dan menjuarai Seluruh England yang pastinya meningkatkan lagi tahap keyakinannya,” kata Rashid kepada BH Sukan.
Sejak pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia, awal tahun lalu, barisan pemain China tidak menyertai mana-mana kejohanan dengan Sukan Olimpik Tokyo akan menjadi penampilan pertama mereka dalam saingan kompetitif.
Berdasarkan rekod pertemuan, kedua-dua pemain merekodkan dua kemenangan dalam empat perlawanan sebelum ini dengan kali terakhir dimenangi Zii Jia ketika Seluruh England 2020, Mac tahun lalu.
Di Tokyo, Zii Jia diundi dalam Kumpulan M bersama pemain Perancis, Brice Leverdez dan Artem Pochtarov dari Ukraine manakala Chen Long dalam Kumpulan N yang turut disertai Pablo Abian (Sepanyol) dan Raul Must (Estonia).
Hanya juara setiap kumpulan layak ke pusingan kalah mati.
Rashid berkata, berdasarkan undian itu, dia meramalkan Zii Jia dan Chen Long tidak berdepan masalah untuk mengungguli saingan peringkat kumpulan sekali gus membuat perhitungan di pusingan 16 terbaik.
© New Straits Times Press (M) Bhd