am@hmetro.com.my
Besut : Misteri kehilangan Ahmad Azreeq Zafreen Ahmad Azhar, 19, atau dikenali sebagai Along dalam perjalanan ke Cameron Highlands terjawab apabila ditemukan maut dipercayai terbabas di Kampung Bukit Jeruk, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, pihaknya mendapat maklumat berhubung penemuan mayat mangsa oleh orang awam kira-kira jam 6.40 petang tadi.
Katanya, seorang penduduk yang kebetulan melalui kawasan berkenaan untuk mencari lembu peliharaannya terhidu bau kuat dari kawasan semak berhampiran.
“Apabila dia mendekati kawasan itu ternampak jasad lelaki bersama motosikal yang ditungganginya berada dalam semak berkenaan.
“Selepas menerima laporan itu, sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian dan mengesahkan penemuan mayat seorang lelaki.
“Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Terdahulu media melaporkan, hasrat tujuh beranak untuk bercuti di Cameron Highlands, Pahang, terbantut apabila seorang ahli keluarga itu dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke pusat peranginan berkenaan.
Mereka bergerak dengan menaiki dua kenderaan, enam beranak menaiki kereta Proton Persona manakala Ahmad Azreeq Zafreen yang juga anak sulung daripada lima beradik itu menunggang motosikal jenis Yamaha R15.
Mohd Rozaime berkata hasil pemeriksaan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah stesen minyak di Benting Lintang berjaya mengesan kelibat seorang individu dipercayai remaja yang hilang itu, sekitar jam 1.38 pagi Jumaat lalu.
Mangsa gagal ditemui sejak kali terakhir dikesan berada di stesen minyak berkenaan sehingga akhirnya ditemukan orang awam petang tadi.
© New Straits Times Press (M) Bhd



