Mitoma, Brighton cetus kemarahan penyokong bola sepak China

Mitoma, Brighton cetus kemarahan penyokong bola sepak China

Beijing: Peminat bola sepak China mengecam Brighton dan pemain sayap Jepun kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, Kaoru Mitoma selepas satu hantaran di media sosial menunjukkan dia tersenyum sambil memegang gambar askar Jepun terakhir yang menyerah diri dalam Perang Dunia Kedua.

Berjuta-juta rakyat China terkorban dalam peperangan sengit menentang tentera Empayar Jepun, yang rekod kekejaman termasuk pembunuhan beramai-ramai, rogol dan rompakan masih menegangkan hubungan antara Beijing dan Tokyo hingga hari ini.

Akademi Brighton & Hove Albion memohon maaf pada Sabtu selepas gambar itu yang menunjukkan Mitoma bergambar bersama seorang pemain muda sambil memegang kad bola sepak rekaan yang memaparkan pegawai Tentera Imperial, Hiroo Onoda mencetuskan kemarahan.

Tengah hari Isnin, topik “Kelab Liga Perdana mohon maaf kepada peminat China” menjadi tajuk paling tular di platform media sosial Weibo dan ditonton lebih 15 juta kali.

“Ada juga kelab Liga Perdana yang menyokong fasis,” tulis komen paling disukai di bawah hantaran oleh tabloid pro-kerajaan, Global Times.

Ada juga yang mendesak Brighton menamatkan kontrak Mitoma yang merupakan pemain antarabangsa Jepun.

“Diharap peminat bola sepak China tidak melepaskannya begitu saja. Kita mesti buat dia faham ketegasan kita, belajar sesuatu, jika tidak akan ada lebih banyak Kaoru Mitoma yang berani angkat kepala,” kata seorang lagi pengguna.

Tidak jelas bagaimana imej Onoda seorang pegawai yang enggan mempercayai Perang Dunia Kedua telah berakhir dan meneruskan perang gerila di hutan Filipina selama tiga dekad boleh dijadikan sebagai kad bola sepak.

Brighton berkata gambar Mitoma memegang kad itu dirakam pada satu acara menjelang Kejohanan Christmas Truce Liga Perdana, yang menyaksikan pemain bawah 12 tahun dari lapan kelab Inggeris bersaing dengan kelab Eropah.

Kejohanan itu dinamakan sempena gencatan senjata spontan pada 25 Disember semasa Perang Dunia Pertama apabila askar British dan Jerman bertemu di kawasan “no man’s land”, malah ada yang bermain bola bersama.

EPL menggambarkan kejohanan itu sebagai acara di mana pemain muda dapat mempelajari “peristiwa sejarah yang membentuk dunia kita”.

Brighton memohon maaf atas “kesalahan yang menyinggung perasaan di China”.

“Kami amat menghargai peminat kami di China dan tidak berniat menyinggung sesiapa,” kata akademi belia kelab itu dalam hantaran di X pada Sabtu.

Kenyataan itu turut disiarkan semula oleh akaun utama kelab.

Mitoma, yang sudah 29 kali mewakili skuad kebangsaan Jepun, belum memberi sebarang komen.

Hubungan antara Beijing dan Tokyo ketika ini sangat tegang selepas Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, mencadangkan Tokyo boleh campur tangan secara ketenteraan jika berlaku serangan ke atas Taiwan, yang didakwa China sebagai wilayahnya.

AFP telah menghubungi Brighton untuk ulasan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top