syafil.syazwan@hmetro.com.my
MENYANDANG dua dunia seni serentak sebagai penyanyi dan pelakon bukan perkara mudah namun buat MK K-Clique, keutamaan tetap pada prinsip dan batas diri.
Bagi penyanyi hip hop popular yang kini rancak melebarkan sayap dalam bidang lakonan, soal menjaga adab serta etika sewaktu bekerja di set penggambaran adalah keutamaan yang tidak pernah dikompromi.
Lebih menarik, MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan berkata, dia tidak perlu mendapatkan keizinan atau restu isterinya, Siti Hajaar Syeikh Nordin sebelum menjayakan apa-apa babak dalam drama lakonannya kerana dia sudah maklum mengenai sempadan yang perlu dijaga.
“Tak perlu ada persetujuan pun untuk saya menjayakan apa-apa babak kerana semua itu kesedaran daripada diri sendiri.”Pelakon lain juga tahu di mana had atau batas perlu ditetapkan ketika berlakon, lagi-lagi kita di Malaysia ini ada batasan dalam lakonan,” katanya.
Menurut anggota kumpulan K-Clique yang berasal dari Sabah ini, menjaga batas bukan sekadar kerana status sebagai suami, tetapi kerana tanggungjawab peribadi dan profesional sebagai anak seni.
“Saya fikir tidak perlu persetujuan orang atau apa sebab itu memang batasan yang perlu kita jaga sebagai pelakon. Ini adalah usaha sendiri untuk menetapkan batas itu,” katanya.
Biarpun tidak terbabit secara langsung dalam proses kerja, MK menyifatkan isterinya tetap memainkan peranan sebagai pengkritik setia di rumah.
Katanya, walaupun tidak banyak komen diberi namun isterinya tetap memberi pandangan jujur jika ada yang dirasakan tidak kena.
“Dia hanya tonton bahagian babak saya sahaja. Dia jarang beri komen mengenai lakonan, tapi kalau ada perkara yang tak okay dia akan beritahu saya.
“Dari segi lakonan, dia tak ada komen yang tak baik jadi maksudnya mungkin semua okay,” katanya.
Mengulas mengenai pembabitannya dalam drama Aku Bukan Ustazah 2, MK berkata, watak digalas kali ini lebih mencabar berbanding musim pertama.
Membawa watak Adam, MK mendedahkan ramai peminat terkejut dan kecewa apabila karakternya ‘dimatikan’ dalam episod ketujuh.
“Ada banyak mesej saya terima sama ada daripada peminat di Malaysia dan Indonesia. Ramai luahkan rasa kecewa dan bertanya mengapa watak saya mati,” katanya.
Namun MK menjelaskan keputusan dibuat berdasarkan keperluan jalan cerita.
“Apa saya boleh katakan ini adalah penceritaan drama ini. Kita mahukan sesuatu cerita di luar jangkaan penonton.
“Kalau boleh mahu peminat tertanya-tanya apa akan jadi atau mengapa itu terjadi. Tiba-tiba masuk episod tujuh watak saya mati,” katanya.
Drama Aku Bukan Ustazah 2 kini ditayangkan menerusi slot Lestary TV3, setiap Isnin hingga Jumaat jam 9 malam.
Drama arahan Idora Abdul Rahman ini turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Erysha Emyra, Nabil Aqil, Zahiril Adzim dan ramai lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




