lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan nilai transaksi jualan mencecah RM209 juta menerusi penganjuran Karnival Mega 3 Dimensi (MK3D) 2025 yang akan berlangsung esok hingga 3 Ogos ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, karnival gergasi yang diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) itu dijangka menarik seramai dua juta pengunjung.
“Mulai daripada esok, kita akan mengadakan MK3D yang melibatkan hari penuh Karnival Usahawan Desa (KUD), Hari Peneroka Felda, dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI).
“Ia melibatkan seramai 1,000 usahawan yang telah dikategorikan dalam pelbagai sektor, di mana kita bukan hanya melibatkan soal pameran produk makanan dan minuman, tetapi semua produk yang dikeluarkan oleh usahawan mikro, kecil dan sederhana,” katanya selepas melakukan tinjauan di MITEC, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual melancarkan program pada Sabtu, kira-kira 2.30 petang.
Menurutnya, majlis pelancaran itu akan diserikan dengan persembahan istimewa daripada orkestra Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Trolak, yang kesemua ahlinya terdiri daripada anak-anak generasi FELDA dan kumpulan B40.
“Persembahan itu diadakan kerana anak-anak ini, semua mereka menghafal al-Quran sekurang-kurangnya lima juzuk dan ada yang telah sampai hingga 20 juzuk,” jelasnya.
Selain pameran dan jualan, pelbagai aktiviti menarik lain turut diatur sepanjang lima hari karnival, termasuk Selawat FELDA, majlis konvokesyen untuk kolej di bawah FELDA, forum, seminar dan sukan dalaman.
“Ini adalah satu acara yang terbesar yang pernah diadakan dan kita ucapkan selamat datang kepada seluruh peneroka FELDA dari seluruh negara, termasuk dari Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, bas MARA Liner akan disediakan di beberapa perhentian tertentu di sekitar Lembah Klang bagi memudahkan pergerakan orang ramai hadir ke karnival itu.
Selain itu, pelbagai hadiah cabutan bertuah yang lumayan turut menanti pengunjung termasuk pakej umrah, lawatan ke Dubai dan sebuah kereta Proton eMas.
Untuk meningkatkan potensi perniagaan, Ahmad Zahid berkata, sesi padanan perniagaan turut diadakan dengan mengundang rakan niaga berpotensi dari negara rantau ASEAN dan antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd