MKI bincang isu kalimah Allah sebelum rujuk Majlis Raja-Raja – Sultan Selangor

MKI bincang isu kalimah Allah sebelum rujuk Majlis Raja-Raja – Sultan Selangor

SHAH ALAM: Isu sensitiviti agama terutama melibatkan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam perlu dibincangkan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) sebelum dirujuk kepada Majlis Raja-Raja.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, baginda sudah berbincang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar İbrahim yang hadir menghadap dan menyembah taklimat mengenai keputusan kerajaan menarik balik rayuan kes baru-baru ini.

Baginda yang juga Pengerusi MKI turut disembah maklum komitmen kerajaan yang akan merujuk kepada Majlis Raja-Raja bagi penetapan dasar berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

“Beta menyatakan pandangan yang turut dipersetujui Yang di-Pertuan Agong bahawa perkara itu perlu dibawa terlebih dulu kepada MKI untuk dibincangkan selaras fungsi menasihatkan Raja-Raja Melayu menambah baik tadbir urus agama Islam di peringkat Persekutuan. 

“Selain itu, ia melibatkan sensitiviti agama yang perlu dimuktamadkan segera oleh kerajaan dengan penuh hikmah dan tanggungjawab,” titah baginda kenyataan dikeluarkan oleh Istana Alam Shah, hari ini.

Sultan Sharafuddin menambah, Perdana Menteri bersetuju membawa isu itu kepada MKI pada Ogos depan sebelum diangkat kepada Majlis Raja-Raja pada Oktober nanti.

“Beta percaya pandangan MKI penting untuk dimajukan kepada Majlis Raja-Raja dalam menetapkan dasar muktamad berhubung penggunaan kalimah Allah.

“Semua pihak diseru menghormati peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak dan kuasa Raja-Raja Melayu dalam menentukan perkara berkaitan agama Islam,” jelas baginda.

Dalam pada itu, Sultan Selangor turut mahu penyelesaian isu itu dibuat secara berhati-hati dengan berteraskan kepada Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan tanpa memprejudis hak orang lain mengamalkan agama mereka.

“Beta juga menyeru semua pihak tidak mempolitikkan, membangkitkan atau membahaskan isu itu lagi sehingga Majlis Raja-Raja membuat ketetapan muktamad kelak. 

Ini bagi memastikan keharmonian hidup bermasyarakat di Malaysia akan kekal utuh demi menjamin kestabilan sosial dan ekonomi,” tegas baginda.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Sultan Sharafuddin mahu semua pihak mengambil pendekatan bijak, tertib dan semangat toleransi tinggi dalam berhadapan isu sensitif terutama berkaitan penggunaan kalimah Allah.

Baginda berkenan menyokong titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mengingatkan rakyat negara tidak menjadikan isu agama sebagai polemik dan perbalahan politik. – UTUSAN