MKT tentukan hala tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan

MKT tentukan hala tuju UMNO dalam Kerajaan Perpaduan

am@hmetro.com.my

Manjung: Sebarang cadangan atau gesaan terhadap hala tuju UMNO serta Barisan Nasional (BN) khususnya berkaitan kedudukan dalam Kerajaan Perpaduan perlu melalui Majlis Kerja Tertinggi (MKT) agar keputusan dibuat menerusi proses penuh kematangan.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) yang juga Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sebarang pandangan, langkah, atau syor yang disuarakan mana-mana ahli atau pemimpin UMNO akan diserahkan kepada MKT parti itu.

Menurutnya, beliau juga yakin Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang menggesa UMNO menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan untuk menjadi pembangkang juga sedar bahawa keputusan berkaitannya perlu melalui MKT.

“Itu pandangan mereka sebagai Pemuda. Beliau tahu bahawa dalam struktur UMNO apa pun desakan, langkah, atau syor yang dibuat akan diserahkan kepada pihak lebih tinggi iaitu di peringkat MKT UMNO.

“Ini kerana proses membuat keputusan itu, dalam konteks UMNO adalah satu proses yang penuh dengan kematangan.

“Dalam konteks ini Dr Akmal juga sedar bahawa apa pun keputusan akan diserahkan kepada MKT UMNO,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata demikian ketika ditemui selepas program Back To School Parlimen Lumut di sini, hari ini.

Beliau mengulas saranan dan gesaan Dr Muhamad Akmal mengenai keperluan UMNO menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan untuk menjadi pembangkang ketika berucap pada pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) semalam.

Dr Muhamad Akmal turut dilapor menggesa UMNO membentuk penyatuan dengan PAS berpaksikan kepada komitmen menjaga serta melindungi agama dan bangsa, melalui penggabungan dua parti Melayu terbesar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top