MKT UMNO dijangka bincang kedudukan Hishammuddin Isnin depan

MKT UMNO dijangka bincang kedudukan Hishammuddin Isnin depan

PETALING JAYA: Isu penggantungan keahlian bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dijangka dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Isnin ini.

Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mesyuarat itu akan berlangsung pada sebelah malam Isnin dan sebarang keputusan berkaitan isu tersebut tertakluk kepada perbincangan dalam mesyuarat berkenaan.

“Keputusan penggantungan sebelum ini juga dibuat dalam mesyuarat MKT, jadi apa-apa keputusan lanjut perlu diputuskan dalam mesyuarat MKT.

“Sudah tentu isu ini akan dibincangkan sekiranya Pengerusi UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi membawanya ke dalam mesyuarat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bachok, Kelantan.

Sebelum ini, UMNO Bahagian Sembrong mencadangkan agar penggantungan keahlian Hishammuddin ditarik semula bagi memperkukuhkan kekuatan parti di semua peringkat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Untuk rekod, keahlian Hishammuddin digantung selama enam tahun atau dua penggal pemilihan parti bermula 27 Januari 2023. – UTUSAN

Scroll to Top