am@hmetro.com.my
Bachok: Isu penggantungan Datuk Seri Hishammuddin Hussein ditarik balik dijangka akan dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Isnin ini.
Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata sekiranya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan membangkitkan perkara itu, ia akan dibincangkan.
“Saya tidak kata menyokong atau tidak menyokong sebaliknya isu ini perlu mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Keputusan asal penggantungan pun dibuat dalam MKT, maka keputusan lanjut juga menerusi mesyuarat MKT. Jadi kita tunggu Isnin ini.
“Sudah tentu isu berkenaan akan dibincangkan sekiranya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor membawa isu berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bachok, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, UMNO Bahagian Sembrong mencadangkan agar penggantungan keahlian Hishammuddin ditarik semula, selaras dengan matlamat memperkukuh parti di semua peringkat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Hishammuddin digantung keahlian UMNO selama enam tahun bermula 27 Januari 2023, atau dua penggal pemilihan MKT UMNO.
Susulan itu, penganalisis politik berpandangan, UMNO wajar memberi pertimbangan untuk menerima semula pemimpinnya yang digantung dan dipecat sebelum ini, mengambil kira sumbangan dan kesetiaan mereka kepada parti.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr P Sivamurugan, dilaporkan berkata, terdapat pemimpin UMNO yang dipecat dan digantung diterima semula ke dalam parti sebelum ini, justeru ia bukan sesuatu yang asing untuk dipertimbangkan ketika ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd