PETALING JAYA: MNRB Holdings Berhad (MNRB) merancang menubuhkan program kertas komersial bernilai nominal sehingga RM500 juta bagi memenuhi keperluan pembiayaan dan korporat kumpulan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MNRB berkata, pihaknya telah mengemukakan maklumat serta dokumen berkaitan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada 1 September 2026 bagi cadangan penubuhan program berkenaan.
Menurutnya, program itu membolehkan MNRB menerbitkan kertas komersial dari semasa ke semasa sehingga nilai nominal RM500 juta.
“Tempoh program adalah selama tujuh tahun bermula dari tarikh penerbitan pertama kertas komersial.
“Penerbitan pertama perlu dibuat dalam tempoh 90 hari bekerja dari tarikh lodgement atau dalam tempoh lain yang ditetapkan SC.
“Kertas komersial yang diterbitkan mempunyai tempoh matang antara satu hingga 12 bulan, dengan syarat ia matang sebelum tamat tempoh program,” katanya.
MNRB berkata, program berkenaan telah diberikan penarafan kredit jangka pendek P1 oleh RAM Rating Services Berhad.
Jelasnya, hasil penerbitan akan digunakan untuk modal kerja am, pelaburan strategik dan/atau am, perbelanjaan modal, pembiayaan semula serta tujuan korporat am lain.
“Sebahagian hasil turut digunakan bagi membiayai perbelanjaan berkaitan program tersebut.
“Affin Hwang Investment Bank Berhad dilantik sebagai penasihat utama, pengatur utama dan pengurus utama bagi program kertas komersial itu,” ujarnya. – UTUSAN

