MNS cadang pindah lokasi KLIP

MNS cadang pindah lokasi KLIP

bhnews@bh.com.my

REMBAU: Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) berharap projek pembinaan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP), dekat Port Dickson, dapat dilaksanakan di lokasi lain supaya alam sekitar dan ekosistem kawasan itu tidak terjejas.

Projek KLIP bernilai RM15 bilion di tapak seluas 248 hektar yang dijangka dilaksanakan dalam separuh pertama tahun ini menyebabkan pelbagai pihak berkepentingan di kawasan itu bimbang habitat semulajadi, potensi pelancongan di sekitar Sungai Linggi serta kehidupan nelayan akan terjejas.

Presiden MNS, Dr Ahmad Ismail, berkata pemindahan lokasi KLIP adalah langkah penting bagi memastikan projek itu tidak mengganggu kawasan semula jadi dan habitat haiwan di Sungai Linggi yang berada di kawasan Negeri Sembilan.

“Sungai Linggi ini mempunyai kepelbagaian ekosistem serta habitat termasuk buaya, udang galah, ikan, kerang, siput dan kelip-kelip yang dapat dilihat di sini.

“Terdapat juga banyak chalet yang mempunyai pemandangan pantai yang cantik dan menarik,” katanya selepas taklimat kepada nelayan Sungai Linggi berkaitan projek KLIP di Jeti Pangkalan Nelayan Sungai Timun, dekat sini, petang semalam.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Sembilan, Abu Bakar Dawam.

Walaupun KLIP dibangunkan di Melaka, ia bersempadan dengan Negeri Sembilan terutama daerah Port Dickson.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan bahawa kerajaan negeri akan membantah pembinaan KLIP sekiranya ia didapati tidak mematuhi laporan Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA) Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Aminuddin berkata, pihaknya tidak mahu projek berkenaan memberi kesan kepada Negeri Sembilan khususnya berkaitan isu hakisan dan masalah kepada nelayan.

Berikutan itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dalam kenyataan susulan, memaklumkan kerajaan Melaka juga sedia untuk membatalkan projek terbabit sekiranya tidak mematuhi syarat pembangunan khususnya EIA.

KLIP yang akan dibangunkan dalam tempoh lima hingga lapan tahun akan mempunyai pelbagai kemudahan termasuk limbungan pembaikan kapal dan fabrikasi komponen minyak dan gas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top