MNU pandang serius dakwaan jururawat dibuli di tempat kerja

MNU pandang serius dakwaan jururawat dibuli di tempat kerja

hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Malayan Nurses Union (MNU) memandang serius dakwaan yang tular di media sosial membabitkan seorang jururawat yang didakwa menjadi mangsa buli, namun belum menerima aduan rasmi daripada jururawat berkenaan.

Presidennya, Noor Aini Abu Hashim berkata, MNU memandang serius sebarang bentuk buli, gangguan, intimidasi, penghinaan atau penderaan terhadap jururawat, sama ada berlaku di tempat kerja mahupun di media sosial.

“MNU cakna mengenai isu yang berlaku namun belum menerima aduan rasmi daripada jururawat berkenaan.

“Perbuatan buli bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan mental dan emosi jururawat, malah boleh memberi kesan terhadap motivasi bekerja, keselamatan persekitaran kerja dan mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial hantaran seorang pengguna yang mendakwa ibunya berusia 53 tahun dan masih bekerja sebagai ketua jururawat di Jabatan Kesihatan Negeri dibuli di tempat kerja sehingga mengalami tekanan dan sering menangis.

Dalam hantaran susulan, pengguna berkenaan mendakwa ibunya sudah mengisi borang pertukaran dan memohon orang ramai mendoakan ibunya terus kuat dan tabah.

Hantaran itu turut mendapat perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memaklumkan pihaknya memandang serius situasi yang dilalui jururawat berkenaan.

Noor Aini menjelaskan, budaya membuli petugas kesihatan akan memberi kesan besar kepada profesion kejururawatan apabila tekanan psikologi yang berterusan boleh menyebabkan keletihan emosi, hilang motivasi, peningkatan kadar peletakan jawatan dan menjejaskan usaha negara mengekalkan tenaga kerja kejururawatan yang berkualiti.

“Jururawat adalah tulang belakang sistem penjagaan kesihatan negara. Mereka berkhidmat tanpa mengira masa, siang atau malam, demi memastikan setiap pesakit menerima rawatan yang selamat, berkualiti dan berperikemanusiaan.

“Namun begitu, semakin kerap berlaku keadaan di mana jururawat dijadikan sasaran kecaman terbuka, rakaman video tanpa kebenaran, pendedahan identiti serta komen berunsur kebencian yang akhirnya mencetuskan tekanan emosi dan menjejaskan kesejahteraan mental mereka,” katanya.

Katanya, setiap rakyat berhak menyuarakan pandangan dan membuat aduan sekiranya terdapat kelemahan dalam penyampaian perkhidmatan, namun kritikan mestilah dibuat secara bertanggungjawab, berasaskan fakta dan melalui saluran yang betul.

“Menghina, memfitnah, mengugut atau menghasut kebencian terhadap seseorang jururawat bukan sahaja bertentangan dengan nilai kemanusiaan, malah boleh menyalahi undang-undang.

“Mangsa buli menggunakan Portal MyHelp, iaitu sistem pelaporan dalam talian rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khusus untuk warga kerjanya melaporkan kes buli atau gangguan psikologi di tempat kerja secara sulit dan telus,” katanya.

Tambahnya, ahli khususnya dan jururawat amnya yang menghadapi masalah buli supaya berhubung dengan pihak yang berkenaan supaya tindakan sewajarnya boleh diambil dan mudah untuk disusuli.

“MNU tidak akan membuat sebarang kesimpulan atau menyebelahi mana-mana pihak sebelum semua fakta diperoleh. Keutamaan kami ialah memastikan kebajikan jururawat terpelihara, proses yang adil dihormati dan sekiranya wujud unsur buli atau pelanggaran hak, tindakan sewajarnya diambil oleh pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top