Kuala Lumpur: CelcomDigi Berhad memperkenalkan MobileSHIELD, aplikasi keselamatan mudah alih berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang direka untuk melindungi pelanggan daripada ancaman digital.
CelcomDigi dalam satu kenyataan berkata, aplikasi ini memberi pengguna kawalan penuh ke atas keselamatan digital peribadi mereka.
Ia berkata, MobileSHIELD membantu pelanggansentiasa dilindungi daripada ancaman seperti penipuan dalam talian, aplikasi berbahaya, ketirisan identiti dan isu privasi.
Menurutnya, MobileSHIELD dibangunkan dengan kerjasama F-Secure untuk menyediakan perlindungan komprehensif melalui satu aplikasi yang mudah digunakan.
“Ciri-ciri utama termasuk Perlindungan Scam dan Keselamatan menyekat laman web palsu dan SMS penipuan. Ia juga melindungi sambungan Wi-Fi dan peranti ketika melayari internet, melakukan urusan perbankan, membeli-belah dan memuat turun kandungan.
“Selain itu, ia turut menyediakan ciri Pemantauan Identiti yang memberi amaran kepada pengguna apabila data peribadi mereka diceroboh,” katanya.
Selain itu, katanya, MobileSHIELD dilengkapi dengan Perlindungan Peranti untuk mengesan dan melindungi daripada perisian hasad (malware) dan aplikasi berisiko.
“Ciri VPN Privasi menyulitkan aktiviti internet, memastikan pelayaran peribadi terutama ketika guna Wi-Fi awam,” katanya.
Pelanggan boleh melanggan MobileSHIELD melalui aplikasi Celcom Life atau MyDigi. Selepasmelanggan, mereka boleh memuat turun aplikasi MobileSHIELD dari gedung aplikasi (app store).
© New Straits Times Press (M) Bhd




