MobilityOne Sdn Bhd peroleh lesen penuh perbankan digital Islam patuh syariah dari LFSA

MobilityOne Sdn Bhd peroleh lesen penuh perbankan digital Islam patuh syariah dari LFSA

LABUAN – MobilityOne Sdn Bhd (MBO) memperoleh lesen penuh perbankan digital Islam patuh syariah daripada Labuan Financial Services Authority (LFSA) pada Disember 2025 sekali gus menandakan lonjakan transformasi daripada fintech kepada perbankan digital berskala penuh.

Dalam kenyataannya, MBO memaklumkan sedang memuktamadkan keperluan kawal selia dengan operasi dijangka dilancarkan di bawah MBO Bank (Labuan) Limited pada suku ketiga tahun ini.

Pencapaian ini meletakkan MobilityOne di barisan hadapan landskap kewangan digital Islam yang berkembang pesat.

Dengan asas kukuh dalam e-wang, pemerolehan pedagang, kiriman wang, gerbang pembayaran serta infrastruktur perkhidmatan kewangan dan sebagai ahli SWIFT, MBO memperluaskan keupayaannya ke dalam perbankan yang dikawal selia.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Hussian A. Rahman, pencapaian ini merupakan detik penting bagi MobilityOne.

“Kami sedang berkembang daripada penyedia fintech kepada bank digital Islam berlesen sepenuhnya.

“Selama ini, kami telah menawarkan perkhidmatan seperti bank dan hari ini, kami melangkah ke tahap seterusnya untuk menjadi sebuah bank sepenuhnya.

“Peralihan ini membuka keupayaan kami untuk berkhidmat kepada komuniti Muslim global secara berskala,” katanya.

Tambahnya, MBO Bank (Labuan) Limited akan menawarkan perkhidmatan perbankan digital sepenuhnya tanpa sempadan yang direka khusus untuk umat Islam di seluruh dunia.

“Pelanggan boleh membuka akaun dengan mudah melalui platform mudah alih, menggabungkan kelajuan, kemudahan serta standard eKYC patuh syariah yang ketat selaras dengan peraturan LFSA,” katanya.

Sementara itu, sebagai teras kepada penawaran runcitnya, Ummah Savings Fund diperkenalkan sebagai penyelesaian simpanan berteraskan tujuan, membolehkan umat Islam di seluruh dunia merancang dan membiayai perjalanan Umrah dan Haji dengan lebih berdisiplin dan mudah.

Pada masa sama, MBO Bank (Labuan) Limited akan melancarkan Global Hajj Platform, sebuah ekosistem digital patuh Shariah pertama seumpamanya yang direka untuk mentransformasikan pembiayaan haji.

Platform ini sejajar dengan aspirasi Labuan IBFC untuk menjadi hab kecairan dan penyelesaian kewangan Islam terkemuka serta dijangka mentakrif semula bagaimana aliran dana berkaitan ibadah haji bergerak merentasi sempadan.

Antara ciri utama termasuk Akaun simpanan digital Umrah dan Haji untuk individu dan institusi, penyelesaian kewangan Islam pelbagai mata wang bagi pengendali Haji dan penyedia perkhidmatan, sijil simpanan Haji berasaskan token yang distrukturkan mengikut kontrak patuh Syariah, kumpulan kecairan rentas sempadan bagi membolehkan pembayaran ibadah dilaksanakan secara lancar, integrasi dengan ekosistem fintech Islam dan perbankan digital.

Dengan memusatkan dana ibadah melalui MBO Bank (Labuan) Limited, platform ini akan mewujudkan satu koridor kecairan Islam khusus yang menghubungkan pasaran utama umat Islam dengan Arab Saudi sekali gus membentuk infrastruktur kewangan yang berskala, telus dan cekap bagi ekonomi global ibadah haji.

Dalam pada itu, inisiatif ini mengukuhkan peranan strategik MBO Bank (Labuan) Limited dalam kewangan Islam melalui menyalurkan simpanan ibadah ke dalam instrumen kecairan patuh syariah, menyokong bank Islam, koperasi serta institusi kewangan digital, menyediakan platform luar pesisir yang neutral untuk transaksi rentas sempadan dan memperkukuh aliran modal Islam global serta infrastruktur penyelesaian kewangan.

Dengan lebih dua juta jemaah Haji setiap tahun dan puluhan juta lagi menunaikan Umrah, ibadah ini mewakili salah satu ekosistem kewangan berulang terbesar dalam dunia Islam namun masih kekal berpecah-pecah.

MBO Bank (Labuan) Limited berhasrat merapatkan jurang ini. Tumpuan awal diberi kepada koridor BIMP-EAGA yang merangkumi Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina sebelum berkembang ke Asia Selatan, Afrika dan Asia Tengah.

Kerjasama strategik dengan bank Islam, pemain fintech serta pengendali Haji di seluruh dunia akan menjadi asas kepada pelaksanaan infrastruktur digital bersepadu bagi simpanan dan pembayaran ibadah.

Scroll to Top