am@hmetro.com.my
Shah Alam: Kementerian Kewangan (MOF) mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan syarikat yang sesuai diberikan tender bagi projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1B.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya ada menyemak semula senarai syarikat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan menghantar senarai berkenaan ke MOF.
“MOF berkuasa mutlak. Untuk Kementerian Kerjaya Raya (KKR), kita semak semula dan kita ada pandangan.
“Yang berlaku kita hantar juga senarai selepas dibincangkan di peringkat KKR dan dihantar ke MOF, jadi mereka memang ada kuasa memikirkan siapa (syarikat) sepatutnya diberikan tawaran dan diluluskan.
“MOF sudah beri balik pada kami keputusan mereka dan arahkan JKR Sabah untuk keluarkan surat setuju terima kepada mereka yang terpilih.
“Kita lalui prosedur yang ditetapkan, jadi tiada masalah sebab MOF yang berkuasa mutlak,” katanya ketika diminta mengulas mengenai penganugerahan Pakej Fasa 1B Lebuhraya Pan Borneo Sabah didakwa diberi kepada syarikat tidak layak yang dibangkitkan di Dewan Rakyat.
Terdahulu, Alexander merasmikan Program Hari Komuniti MyPLUS di Sekolah Kebangsaan (SK) Hicom, Seksyen 27, di sini, hari ini.
Pada sidang Dewan Rakyat semalam, beberapa ahli Parlimen membangkitkan perkara terbabit kepada Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dengan mendakwa tender Projek Pan Borneo diberikan kepada syarikat yang tidak dinilai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




