'Moga Muqri ditemukan segera dalam apa jua keadaannya' – Bapa

'Moga Muqri ditemukan segera dalam apa jua keadaannya' – Bapa

am@hmetro.com.my

Sanglang: “Saya harap anak saya ditemui segera dan dipermudahkan segala urusan pencariannya,” kata Masri Hassan, 43.

Masri adalah bapa kepada Muhammad Amsyar Muqri Masri, 18, yang dikhuatiri lemas selepas mesin padi yang dinaiki bersama tiga rakannya terjatuh ke dalam sungai di Kampung Sanglang, berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang, di sini hari ini.

Dalam kejadian sekitar jam 3.30 petang itu, dua daripada tiga rakannya berjaya menyelamatkan diri manakala seorang lagi rakannya diselamatkan oleh pasukan Bomba.

Menurut Masri, anak sulung daripada dua beradik itu mengikut tiga rakan sekampungnya di situ kerana bercuti tiga hari sempena Maulidur Rasul serta cuti hujung minggu.

Katanya, anaknya adalah penuntut semester pertama Diploma Kejuruteraan Bangunan, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas) Jitra.

“Biasanya kalau hujung minggu, dia akan pergi bertemu dengan rakan-rakan sekampung dan apa yang berlaku ini saya tidak tahu.

“Saya hanya dimaklumkan suruh datang sini dan apabila sampai, saya dapati Muqri hilang manakala tiga rakannya selamat selepas mesin padi terjatuh di sungai ini.

“Sebagai bapa, saya tak putus berdoa supaya anak saya ditemui segera dalam apa jua keadaan sekali pun dan saya sendiri sanggup menunggu di sini sehingga jam 7 petang sejak jam 3 petang tadi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Masri yang juga pesara tentera berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya itu pagi tadi sebelum dia keluar dari rumah mereka tidak jauh dari situ.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Azhar Tajudin berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) berjalan hampir empat jam hari ini sejak menerima panggilan jam 3.40 petang tadi.

Beliau berkata, operasi ditangguh sementara jam 7.10 petang selepas usaha mencari mangsa tidak menemui sebarang petunjuk.

“Operasi hari ini membabitkan anggota dari BBP Jitra yang melakukan pencarian di permukaan air sebelum dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Jitra.

“Anggota PPDA melakukan selaman di dasar sungai pada kedalaman kira-kira empat meter tetapi tidak menemui mangsa. Operasi SAR akan disambung semula pagi esok,” katanya.

Noor Azhar berkata, operasi hari ini turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Sementara itu, Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh yang turut berada di lokasi pencarian memaklumkan lokasi itu dikenali sebagai Parit Sanglang di bawah MADA.

Beliau berkata, parit itu baru dicuci beberapa hari lalu kerana iA dicuci dua atau tiga kali setahun.

“Tetapi disebabkan hujan, ia dipenuhi air sehingga menyebabkan kedalaman empat meter.

“Apapun, saya berharap mangsa ditemui segera dan pasukan penyelamat sedang melakukan operasi pencarian sehingga kini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki dikhuatiri lemas manakala tiga selamat selepas mesin padi dilaporkan jatuh ke dalam sungai di Kampung Sanglang, berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang ,di sini hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top