Mohamad Asyraf dituduh libas bapa saudara

Mohamad Asyraf dituduh libas bapa saudara

nfazlina@nstp.com.my

KOTA BHARU: Pembantu juruelektrik didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan dengan melibas bapa saudaranya, menggunakan parang sehingga hampir putus pergelangan tangan di Kampung Membatu Kok Lanas, Februari lalu.

Tertuduh, Mohamad Asyraf Rahimi, 25, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap bapa saudaranya, Mohd Noor Deraman, 44, dengan menggunakan sebilah parang yang boleh menyebabkan kematian dalam kejadian di tepi jalan, di Kampung Membatu Kok Lanas jam 10.30 malam pada 21 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman sehingga 20 tahun.

Pendakwan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Faizuan Sulaiman dan tertuduh diwakili peguam, Ilias Mohd Nor.

Terdahulu, Faizuan memohon supaya tiada jaminan ditawarkan memandangkan kediaman keluarga tertuduh jaraknya hanya tujuh kilometer dengan mangsa, selain dikhuatiri mengganggu saksi.

Ilias bagaimanapun memohon jaminan minimum ditawarkan kerana tertuduh perlu menyara kedua-dua ibu bapanya dan memberi jaminan anak guamnya tidak mengganggu mangsa dan saksi.

Mahkamah tidak menawarkan jaminan dan menetapkan 3 Mei untuk tarikh sebutan semula kes.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top